Berita

Koperasi Rakyat BR2.0 Malaysia Berhad umum dividen 5.5%

- Diterbit 11 Disember 2024 3:53 PM MYT

KOPERASI Rakyat BR2.0 Malaysia Berhad (BR2.0) mengumumkan pengagihan dividen sebanyak 5.5% kepada semua anggota koperasi bagi tahun kewangan 2023.

Pengerusinya, Datuk Abd Rani Lebai Jaafar, berkata pengagihan itu juga membuktikan kemampuan koperasi Rakyat BR2.0 Malaysia Berhad dalam membina ekonomi yang lebih kukuh dan mampan bukan sahaja kepada ahli tetapi juga buat rakyat Malaysia.

“Kami percaya dividen ini adalah bukti nyata bahawa BR2.0 bukan sahaja sebuah koperasi, tetapi sebuah institusi yang boleh diandalkan untuk memberikan pulangan yang kompetitif kepada anggota-anggota.

“Ini bukan sahaja tentang dividen tetapi mencapai matlamat bersama dan memastikan bahawa setiap ringgit yang dilaburkan memberikan manfaat yang nyata,” ”katanya pada majlis pengumuman yang diadakan di Armada Hall, Marina Putrajaya.

Tambahnya, koperasi Rakyat BR2.0 Malaysia Berhad juga bukan sekadar platform pelaburan, tetapi merupakan sebuah komuniti yang berkembang bersama sekali gus membina kekuatan ekonomi melalui kerjasama.

Jelasnya dengan pulangan yang berbaloi turut menjadi bukti Pelaburan dalam Koperasi Rakyat BR2.0 bukan sahaja menawarkan pulangan yang kompetitif, tetapi juga merupakan langkah bijak untuk memastikan masa depan kewangan yang lebih terjamin.

“Di BR2.0, kami menyediakan peluang pelaburan yang menguntungkan, sambil memberi impak positif kepada kesejahteraan komuniti.

“Sebagai satu komuniti yang saling menyokong, kami percaya bahawa usaha rakyat untuk membantu rakyat akan membawa kepada pembangunan ekonomi yang lebih stabil dan mampan. Setiap pelaburan yang anda buat bukan sahaja memperkukuhkan kedudukan kewangan anda, tetapi juga menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat secara keseluruhan,”katanya lagi.

Sementara itu menurut beliau dengan komitmen dan usaha berterusan ditunjukkan, pihaknya juga yakin dividen tahun 2024 juga akan lebih baik berbanding tahun 2023 sekali gus menyokong pertumbuhan ekonomi yang lebih berdaya saing. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas