KONVOI Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2024 dari Selangor tiba di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (WPKLP) selepas selesai menjelajah ke tiga lokasi persinggahan di Selangor hari ini.
Simbolik penyerahan baton Jalur Gemilang dilaksanakan oleh Ketua Konvoi KMJG Selangor, Normaizatulakmal Tujad kepada Ketua Konvoi WPKLP, Lt. Kol. Bersekutu (PA) Sabarudin Yeop Hamza.
Baton Jalur Gemilang ini seterusnya diserahkan kepada Menteri Komunikasi merangkap Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil sebagai simbolik permulaan jelajah KMJG WPKLP.
Selain mendukung dan mempromosikan tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2024, Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka, KMJG anjuran Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) juga bertujuan menyebarluaskan kepelbagaian program.
Ini menerusi kluster kenegaraan dan patriotisme dengan mengambil kira pelaksanaan enam tonggak utama MADANI untuk disemarakkan dalam segenap lapisan masyarakat.
Seterusnya, konvoi bergerak ke Pasar Wirawati, Taman Maluri pada esok yang akan disambut oleh Menteri Perladangan dan Komoditi merangkap Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Lokasi terakhir peringkat WPKLP akan berlangsung di Institut Latihan DBKL dan akan disambut oleh isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak.
Baton Jalur Gemilang kemudiannya akan diserahkan semula kepada urus setia KMJG 2024 yang akan meneruskan konvoi sebagai Kontinjen KMJG dalam Acara Perbarisan dan Perarakan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos 2024 di Dataran Putrajaya.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, Pengarah Penerangan, Julina Johan dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Kamarulzaman bin Mat Salleh. – WILAYAHKU