KENYATAAN kontroversi Tan Sri Mahiaddin Md Yassin pada ceramah Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri sangat keterlaluan dan menimbulkan kecenderungan menghasut orang ramai.
Felo Majlis Profesor Negara dan Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara, Profesor Dr Azmi Hassan berkata sebagai seorang yang berpengalaman dalam arena politik dan juga bekas Perdana Menteri, beliau seharusnya menjaga sensitiviti agar tidak keterlaluan ketika berkempen.
Menurut Azmi, jika diteliti rakaman yang tular bekas Perdana Menteri tersebut melakukan satu pertuduhan yang secara sengaja menyentuh sentimen raja, agama dan kaum (3R).
“Dalam hal ini, dapat dilihat kenyataan yang dilakukan oleh Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), pada ceramah PRK Nenggiri agak keterlaluan malah isu yang dibangkitkannya itu telah berlaku hampir dua tahun lepas.
“Terdapat dua pertuduhan signifikan yang cuba dilontarkan oleh Mahiaddin, di mana yang pertama menuduh Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah tidak berlaku adil dan seolah-olah melanggar atau tidak mematuhi kehendak perlembagaan.
“Kedua pula adalah hasutan, di mana jika dilihat, bekas Perdana Menteri itu, cuba memberi persepsi kepada masyarakat bahawa Kerajaan Persekutuan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah tidak sah,” katanya ketika dihubungi Wilayahku baru-baru ini.
Tambah Azmi, ahli politik tidak sepatutnya menggunakan isu 3R bagi meraih undi atau simpati mudah daripada masyarakat.
“Jika dilihat, kebanyakan (ahli politik) yang menggunakan sentimen 3R ini adalah demi manfaat politik peribadinya kerana itu adalah kerja paling senang bagi meraih undi serta perhatian masyarakat.
“Mereka tidak perlu buat kerja rumah, tidak perlu sediakan data atau statistik umpamanya, tetapi jika dimainkan sentimen 3R ini, boleh memperoleh simpati serta meraih undi dan sebagainya,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Azmi berkata seseorang individu yang mempunyai pengaruh yang kuat seperti Mahiaddin tidak sepatutnya menggunakan sentimen 3R bagi meraih undi.
“Sepatutnya orang seperti beliau (Mahiaddin) yang mempunyai pengalaman luas dalam arena politik beri contoh yang baik. Kalau nak berkempen secara retorik itu boleh tetapi guna isu-isu yang lain tanpa menyentuh sentimen 3R,” katanya.
Azmi menegaskan beliau menyeru pemimpin politik untuk sentiasa menjaga 3R demi keharmonian negara.
“Ahli-ahli politik sepatutnya menjadi contoh yang terbaik kepada orang ramai untuk tidak menyentuh berkenaan isu 3R atau menyalahgunakannya demi manfaat peribadi.
“Setiap ahli politik diingatkan sekali lagi untuk kekal menjaga keharmonian negara dan bangsa serta tidak menjadikan isu 3R sebagai hujah utama ketika berkempen dalam Pilihan Raya Kecil atau Pilihan Raya Umum,” tegasnya.
Azmi berkata mana-mana individu wajar dikenakan tindakan terhadap kecuaian di dalam mempermainkan isu 3R yang boleh mengganggu semangat perpaduan kaum di negara.
“Sentimen-sentimen isu 3R tidak wajar dipolitikkan kerana ia mampu menimbulkan keresahan terhadap masyarakat berbilang kaum di negara ini.
“Mana-mana individu sewajarnya dikenakan tindakan yang setimpal bagi memberi pengajaran agar perkara sebegini tidak lagi berulang di masa hadapan,” ujarnya.
Malah Azmi menambah, Pengerusi Perikatan Nasional itu seharusnya membuat permohonan maaf secara terbuka serta penjelasan terhadap perkara tersebut. – WILAYAHKU