Berita

Kontraktor diarah bayar RM50,000 kerana gagal siapkan rumah

- Diterbit 4 Oktober 2024 3:18 PM MYT

TRIBUNAL Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) Labuan mengarahkan sebuah syarikat kontraktor untuk membayar semula RM50,000 kepada seorang pengguna susulan melanggar perjanjian dan gagal menyiapkan kerja-kerja pembinaan rumah.

Menurut Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Labuan, Junaidah Arbain, berdasarkan perjanjian di antara dua pihak itu, pihak kontraktor perlu menyiapkan pembinaan rumah tersebut pada 7 Oktober 2023 lalu.

Katanya, bagaimanapun, pihak kontraktor telah gagal berbuat demikian dan menyebabkan pengguna terpaksa mengeluarkan kos tambahan bagi menyiapkan kerja-kerja pembinaan rumahnya.

“Pihak kontraktor turut berjanji untuk membayar semula kos tambahan yang telah dikeluarkan oleh pengguna tetapi masih gagal melaksanakannya.

“Kes tuntutan tersebut telah didengar pada 25 Julai lalu di Mahkamah TTPM Labuan dan telah menetapkan kepada pihak kontraktor untuk membayar jumlah tersebut kepada pengguna dalam tempoh 14 hari dari tarikh diserahkan,” katanya dalam satu kenyataan, pada Jumaat.

Junaidah berkata, TTPM merupakan saluran alternatif kepada pengguna untuk membuat tuntutan tebus rugi berkenaan pembelian barang atau perkhidmatan yang dibenarkan di
bawah Akta Pelindungan Pengguna 1999 [Akta 599] dengan jumlah tuntutan tidak melebihi RM50,000.

Juteru itu, pihaknya menasihati kepada orang ramai agar sentiasa cakna akan hak-hak sebagai seorang pengguna dan bertindak sewajarnya dengan membuat tuntutan tebus rugi di TTPM terhadap peniaga dan pembekal perkhidmatan yang tidak memuaskan atau tidak memenuhi ciri-ciri seperti yang dijanjikan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas