SEJUMLAH RM16,400 insentif diperuntukkan oleh Kerajaan Persekutuan di bawah Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP) dan Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) kepada atlet Para Sukan Malaysia (SUKMA) di Labuan yang berjaya mempemarkan aksi cemerlang pada temasya sukan tersebut September lalu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata beliau amat berbangga dengan atlet Para SUKMA Labuan kerana berjaya memungut sebanyak 3 pingat emas, 3 pingat perak dan 1 gangsa yang menjadikan keseluruhannya 7 pingat melibatkan 5 orang atlet.
“Walaupun dengan kekuatan kontinjen hanya 33 orang atlet dan 22 orang pegawai, kontinjen Para SUKMA Labuan mampu memenangi pingat. Pencapaian pada tahun ini bagi pungutan pingat emas juga telah meningkat berbanding hanya 2 pingat emas sahaja yang dimenangi pada tahun 2022,” katanya pada Majlis Penghargaan dan Penyampaian Insentif Atlet Para Sukma Labuan pada Isnin.
Beliau menjelaskan insentif yang diberikan bertujuan untuk menggalakkan serta memberi motivasi kepada atlet-atlet yang berjaya pada temasya itu.
“Saya sangat teruja kerana dapat bertemu dengan penggiat-penggiat sukan dan wakil-wakil persatuan sukan yang bertanggungjawab membantu meningkatkan kecemerlangan sukan di Wilayah Persekutuan Labuan.
“JWP melalui MSWP akan sentiasa memberi komitmen dan kerjasama yang jitu dalam memastikan pembangunan sukan Wilayah Persekutuan sentiasa berada di tahap yang membanggakan,” katanya.
Terdahulu, atlet yang berjaya membawa pulang emas menerima insentif sebanyak RM3,000; perak RM1,200; gangsa RM800 diikuti jurulatih bagi pingat emas sahaja sebanyak RM1,000.
Pingat emas diperolehi menerusi atlet Rozabelle Rozell Parinus (para olahraga 100 meter), Avrinda Anis (para boccia) dan Asmaliza (para boling padang).
Manakala bagi 3 pingat perak diperolehi menerusi Labo Taulim (para renang) menerusi kuak dada 100 meter, gaya kupu-kupu 100 meter dan gaya bebas 50 meter.
Bagi gangsa pula di perolehi menerusi Rafli Suhaili para powerlifting kategori 49 kilogram. – WILAYAHKU