Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Berita

Kontinjen Malaysia buru pingat di AUG 2024

KONTINJEN negara meluahkan keyakinan barisan atlet kali ini mampu menyamai pencapaian sewaktu edisi 2022.
- Diterbit 25 Jun 2024 2:10 PM MYT

TEMASYA Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2024 yang membuka tirai secara rasmi hari ini menandakan bermulanya perjuangan kontinjen negara memikul ekspetasi tinggi daripada pelbagai pihak khususnya Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menerusi sasaran 35 pingat emas.

Dengan membariskan beberapa atlet berprofil tinggi untuk memperkasa kontinjen negara, ia jelas menampakkan bahawa KPT memberi keutamaan kepada temasya dwitahunan yang berlangsung di Surabaya-Malang bermula hari ini hingga 6 Julai itu.

Beberapa nama ini jelas menjadi pertaruhan terbaik Malaysia untuk menjelmakan kilauan emas di AUG 2024 dengan satu lagi matlamat untuk menempatkan diri dalam kelompok tiga teratas.

Sukan olahraga dijangka menjadi antara ‘lubuk emas’ buat kontinjen negara dengan membariskan tiga atlet berprofil tinggi iaitu pemegang rekod kebangsaan acara 100 meter (m) lelaki, Muhammad Azeem Mohd Fahmi, pemegang rekod kebangsaan acara 400m lelaki, Umar Osman selaku pembawa Jalur Gemilang  dan pemegang rekod kebangsaan 400m wanita, Shereen Samson Vallabouy.

Selain itu, pemegang rekod kebangsaan acara berpasukan compound lelaki, Mohamad Syafiq Md Ariffin dan pemenang pingat emas Sukan SEA 2023, Muhammad Syafiq Zuber dan Shahmalarani Chandran masing-masing daripada sukan taekwondo dan karate turut dipertaruhkan di AUG.

Namun, tugas kontinjen negara tidak mudah kerana bakal berdepan pencabar utama Indonesia selaku tuan rumah yang ketaranya mempunyai kelebihan beraksi di laman sendiri serta juara bertahan Thailand yang sudah pasti mahu mempertahankan gelaran juara keseluruhan yang diraihnya pada edisi 2022.

Bagi Malaysia, pencapaian pada edisi lepas dengan melepasi sasaran 35 pingat emas ditetapkan sebelumnya mungkin menjadi kayu ukur kepada penampilan kali ini dengan penyertaan atlet institusi pengajian tinggi (IPT) yang pernah mengukir nama di pentas lebih kompetitif dalam kontinjen negara.

Terdahulu, pada edisi 2022 yang berlangsung di Ubon Ratchathani, Thailand, kontinjen negara muncul sebagai naib juara di belakang tuan rumah selepas meraih 49 pingat emas, 83 perak dan 50 gangsa.

Malaysia menghantar 382 atlet dan pegawai bagi menggalas cabaran negara dalam 18 daripada 20 acara dipertandingkan dengan Umar sebagai pembawa Jalur Gemilang pada pembukaan temasya sukan berprestij itu. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas