SHOWPRO Entertainment Sdn. Bhd. mengesahkan Konsert Ungu Di Kuantan Bersama Artis Tanah Air yang sepatutnya berlangsung pada 24 Februari ini ditunda ke tarikh baharu iaitu 4 Mei depan bagi menghormati kedatangan Ramadan.
Menerusi sebuah kenyataan kepada media, sebagai penganjur mereka harus menjaga sensitiviti, toleransi demi keharmonian serta menghormati pelbagai kaum dan agama sebagai rakyat Malaysia tercinta.
“Tidak ada yang lebih diutamakan penganjur selain menjaga sensitiviti, toleransi demi keharmonian serta menghormati pelbagai kaum dan agama sebagai rakyat Malaysia tercinta.
“Ini juga selepas mengambil kira faktor perkembangan semasa serta menghormati pandangan masyarakat terutama umat Islam yang akan menyambut bulan puasa dan Hari Raya Aidilfitri.
“Paling penting, keputusan penundaan acara ini telah dipersetujui seluruh barisan artis dan pihak terlibat melalui perbincangan yang dilakukan,” kata kenyataan tersebut.
Pihak penganjur turut menukar nama acara itu yang asalnya menggunakan nama Pesta Muzik Kuantan dan disambut baik semua yang berkenaan termasuk artis.
“Keputusan menangguhkan Ungu di Kuantan Bersama Artis Tanah Air dipersetujui semua dan kami dengan rendah hati ingin memohon maaf kepada semua pembeli tiket konsert,” ujarnya.
Menurut penganjur lagi, konsert ini mempunyai objektifnya yang tersendiri antaranya menjana ekonomi masyarakat dan sebagai tarikan pelancong.
“Ungu Di Kuantan Bersama Artis Di Tanah Air ini pada asalnya mempunyai objektif untuk terus melestarikan budaya, menggalakkan apresiasi seni dan membantu penjanaan ekonomi di karnival jualan produk tempatan seperti makanan dan cenderahati serta aktiviti-aktiviti menarik di perkarangan Stadium Darul Makmur, Kuantan, Pahang.
“Gabungan seni muzik dan kebudayaan penduduk tempatan ini secara tidak langsung dikomersialkan sebagai satu tarikan pelancongan terbaik pengunjung ke Kuantan dan daerah-daerah lain di Pahang serta negeri di kawasan Pantai Timur,” kata penganjur.
Sementara itu, pembeli tiket konsert boleh mengekalkan status pembelian memandangkan perubahan hanya kepada tarikh konsert saja iaitu dari 24 Februari ditunda kepada 4 Mei nanti.
Barisan artis juga dikekalkan termasuk kumpulan terkenal Indonesia, Ungu selain Ara Johari, Naim Daniel, Khai Bahar, Nabila Razali, Den Manjo, Eda Ezrin dan Aswad Jalil. – WILAYAHKU