LEGENDA rock tanah air, Datuk Awie akan muncul sebagai penyanyi utama untuk tiga kumpulan rock Wings, Search Kid Din dan Dragon Malaya pada Konsert Triad.
Konsert yang bakal berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 14 Februari depan dijangka bakal menerima pengiktirafan The Malaysian Books Of Records (MBOR).
Awie berkata konsert Triad bakal menjadi konsert bersejarah yang tidak pernah dibuat mana-mana band sebelum ini apabila menggabungkan tiga kumpulan tetapi dengan satu vokalis saja.
“Konsert ini akan menjadi satu perjalanan baru kepada industri muzik tanah air dan bakal mencipta satu sejarah. Insyallah konsert ini akan disenaraikan dalam MBOR kerana belum pernah lagi konsert seumpamanya diadakan.
“Idea untuk mengadakan konsert ini tercetus sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) empat tahun lalu. Saya ada album dengan Wings dan Search manakala Dragon Malaya yang dianggotai Lan Taro, Eddie Def Gab C, dan Paepula selalu mengiringi persembahan solo saya.
“Jadi saya terfikir bagaimana nak berkongsi rezeki dengan ketiga-tiga band yang pernah naik turun bersama saya. Maka tercetus idea mengadakan konsert Triad. Saya tahu konsert itu akan mencabar saya perlu kerana menyanyi lagu-lagu ketiga-tiga band dalam genre yang berbeza.
“Tapi saya akan pastikan warna dan rasanya sampai pada malam itu. Saya akan menjadikan konsert Triad satu realiti yang luar biasa dan memastikan kami menjadi sebuah keluarga pada malam itu tanpa membeza-bezakan kumpulan yang dianggotai,” katanya pada majlis sidang media konsert Triad.
Menurut Awie lagi, selaku penganjur Rumah Merah Produksi, pihaknya juga akan memastikan konsert itu mencapai standard kualiti yang tinggi dan tidak diadakan secara caca marba.
“Kami nak konsert ini menjadi momen yang indah untuk diabadikan bersama ketiga-tiga band. Cuma saya berharap kesihatan kami berada dalam keadaan yang baik menjelangnya konsert nanti.
“Saya buat konsert ini bukanlah untuk menunjukkan yang saya adalah raja sekala rockers. Tahun depan sudah 40 tahun saya dalam bidang seni, kalau saya asyik ulang alik buat benda sama nanti orang naik meluat. Jadi saya cuba langgar hukum tubuh badan dengan adakan konsert ini,” katanya. – WILAYAHKU