Berita

Konsert ‘Tiba Masa… Zainal Abidin’ rai 4 dekad dalam industri

- Diterbit 23 September 2023 3:54 AM MYT

LAGENDA muzik tanah air, Datuk Zainal Abidin ,64, bakal menjayakan konsert solo yang diadakan pada 30 September depan, di Panggung Sari, Istana Budaya (IB), Kuala Lumpur.

Selain mahu mengubati kerinduan peminat, konsert tersebut amat bermakna kerana ia bersempena ulang tahun ke-40 penghibur serba boleh itu dalam industri muzik.

Pada malam konsert nanti, penyanyi yang popular dengan lagu Hijau itu akan menghiburkan peminat menerusi tiga segmen.

“Persembahan saya pada malam itu dibahagikan kepada tiga segmen. Segmen pertama mengimbau nostalgia penonton apabila saya akan menyanyi bersama Headwind.

“Segmen seterusnya, saya menyanyi secara solo. Sudah tentu saya akan persembahkan lagu hit seperti Hijau, Inayah, Kau Di Hatiku, Orak Arek dan banyak lagi.

“Selepas itu barulah muncul segmen untuk lagu Tiba Masa. Tidak dinafikan, ada beberapa kejutan menanti penonton pada malam konsert itu kelak,” katanya.

Zainal Abidin berkata demikian pada sidang media pelancaran single Tiba Masa dan pengumuman konsert Tiba Masa… Zainal Abidin di Bangsar, baru-baru ini.

Apabila ditanya tentang gimik persembahan, Zainal menyatakan beliau mahu berkongsi sepenuhnya pengalaman sepanjang 40 tahun dalam industri muzik.

“Saya bukanlah penyanyi yang gemarkan gimik. Setiap kali mengadakan persembahan, saya pertaruhkan bakat seni. Semua peminat saya tahu mengenai perkara itu.

“Di konsert ini juga, saya akan persembahkan lagu Hijau, tetapi dalam versi asal yang belum pernah diperdengarkan. Versi ini adalah paling asal sebelum versi yang kita semua sedia tahu wujud,” katanya.

Zainal Abidin juga menyatakan, beliau mahu peminat berada dalam keadaan selesa sambil menikmati lagu-lagu yang bakal dihidangkan. Disebabkan itulah, Zainal memilih IB sebagai lokasi konsertnya nanti.

“Saya pilih IB kerana sesuai dengan konsep muzik yang saya bawa. Lagipun, kebanyakan peminat saya adalah mereka yang sudah dewasa dan ada kedudukan dalam kerjaya mereka.

“Mereka hendak duduk dengan selesa ketika menonton, bukannya berdiri di zon khas seperti di lokasi lain. Saya kena sesuaikan dengan kehendak mereka.

“Biarpun IB ada peraturan tersendiri, namun, penonton dialu-alukan untuk bangun menyanyi dan menari bersama saya. Cuma janganlah rakam, nanti kena pancaran laser,” guraunya.

Menurut Pengarah Urusan Bsync Live, Adam Mazelan yang bertindak sebagai penganjur, sambutan terhadap tiket konsert sangat menggalakkan.

“Sambutan yang diterima setakat ini amat menggalakkan. Kita menawarkan enam fasa tiket bermula RM169 untuk tempat duduk aras 2 sehingga RM865 untuk tempat duduk kategori emas,” katanya.

Pada konsert berkenaan juga, Zainal Abidin dijangka membuat persembahan tanpa henti selama dua jam dengan diiringi barisan pemuzik tersohor antaranya Mac Chew dan Michael Veerapen.

Selain menyanyikan lagu popular, turut menjadi tarikan konsert Tiba Masa adalah kemunculan istimewa Zainal Abidin bersama kumpulan Headwind yang bakal menyampaikan lagu hit mereka seperti Suraya, Pelangi, Segalanya Mungkin, dan Hanya Di Radio.

Kali terakhir kemunculan Headwind bersama Zainal Abidin dalam sebuah persembahan adalah lima tahun lalu.

 

Tiba Masa kesinambungan lagu Hijau

‘Oh anok-anok

Tok leh menghaso mandi laok

Besaing main ghama-ghama

Ale lo ni tuo umonya berjuto

Kito usoho

Jauhke daghi malapetako’

 

Inilah antara bait-bait lirik yang menggunakan loghat Kelantan dalam lagu Hijau nyanyian Zainal Abidi

Seperti mana yang kita semua sedia maklum, Zainal dikenali ramai sebagai seorang penyanyi bergenre muzik dunia dan kerohanian.

Lagu-lagu nyanyiannya banyak berkisarkan tentang kemanusiaan dan alam sekitar yang diterima oleh masyarakat tempatan dan antarabangsa

Kini, Zainal hadir dengan lagu baharu berjudul Tiba Masa yang dilancarkan secara rasmi pada 4 September, baru-baru ini.

“Tiba Masa adalah kesinambungan selepas 30 tahun lagu Hijau. Waktu itu saya bercakap dan memberi nasihat mengenai kesedaran, jadi sekarang adalah masa menuai hasil daripada nasihat itu.

“Liriknya menitipkan mesej mengenai perdagangan, peperangan, tempat berteduh, pembangunan, pusaka alam dan harta dunia,” katanya mengenai lagu ciptaan Michael Veerapan dan lirik oleh Mukhlis Nor itu.

Pada majlis pelancaran lagu Tiba Masa, Zainal turut melancarkan video muzik lagu itu yang diarah isterinya, Datin Angelina Asmawi.

Mengambil masa hanya dua jam untuk melengkapkan penggambaran, video muzik bertemakan alam sekitar itu mengetengahkan teknologi berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang pertama seumpamanya di Malaysia.

 

Muzik platform perpaduan

Tiba Masa adalah satu lagi karya yang dihasilkannya untuk rakyat Malaysia, yang mana diselitkan dengan pelbagai elemen.

“Sejak dulu saya tak buat lagu Melayu, tetapi saya buat lagu Malaysia. Dalam kata lain, lagu itu boleh diterima oleh bangsa lain dan turut diselitkan beberapa elemen seperti dialek, elemen kebudayaan seperti Melayu, Tamil, Kantonis serta susunan muzik unik.

“Sudah tiba masanya untuk kita buktikan diri kita dalam bidang muzik. Dalam masa 10 hingga 20 tahun akan datang, kita semua akan sama dari segi jumlah populasi mengikut kaum.

“Sekarang kita kena bendung perasaan untuk mengasingkan diri dari segi bangsa dan keagamaan,” katanya.

Zainal juga mengaku, muzik berperanan penting dalam mempengaruhi masyarakat di Malaysia yang berbilang kaum.

“Sekarang saya rasa perkara yang paling kuat memberi pengaruh dan perlu diberi kesedaran adalah kehidupan rakyat yang harmoni.

“Tak boleh bezakan sebab ia akan merosakkan negara. Muzik adalah ‘kenderaan’ yang baik untuk saya sampaikan kepada setiap rakyat. Syaratnya lagu itu sendiri kena bagus,” katanya. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas