ORKESTRA Kuala Lumpur mengajak orang ramai mengenang nostalgia dengan menganjurkan Konsert Senandung Abadi tribute khas buat bintang legenda Allahyarham Tan Sri SM Salim dan Datuk Sharifah Aini di Auditorium Panggung Bandaraya, Kuala Lumpur pada 19 Oktober ini.
Konsert anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ini merupakan salah satu cara dalam memberikan penghormatan kepada ikon muzik kesayangan Malaysia dari dahulu sehingga ke hari ini.
Menurut Ketua Orkestra Kuala Lumpur DBKL, Isabella Pek, lagu-lagu nyanyian dua insan seni ini malar segar dan melekat di ingatan sehingga ke hari ini.
“SM Salim dan Sharifah Aini merupakan tokoh lagu-lagu Malaysia dan sumbangan mereka kepada industri muzik tanah air terlalu besar sama ada dari segi terbitan album, lagu dan sebagainya.
“Lagu-lagu nyanyian mereka merentas zaman malah sentiasa menjadi pilihan untuk dinyanyikan atau dipersembahkan semula. Ini sekali gus membuktikan lagu-lagu tersebut dapat diterima sepanjang zaman termasuk anak-anak muda. Inilah keunikan dua insan hebat ini,” katanya.
SM Salim dan Sharifah Aini bukan sahaja terkenal menerusi muzik yang melangkau genre, bangsa dan usia, malah kemampuannya ketika membuat persembahan menonjolkan sisi versatil seorang penghibur.
Dalam konsert istimewa kali ini, Orkestra Kuala Lumpur bakal mempersembahkan program pelbagai tema dan genre.
Menyedari karya-karya bintang legenda ini yang sentiasa dirindui, DBKL akan ‘menghidangkan’ persembahan yang dibawakan nanti dengan keunikan tersendiri.
“Orang ramai yang hadir ke konsert ini boleh mengambil peluang ‘melepaskan rindu’ dan terus mengenang jasa mereka. Semasa konsert nanti kami turut paparkan video daripada komposer hebat iaitu Tan Sri Datuk Seri Dr Ahmad Nawab yang banyak mencipta lagu buat dua insan seni ini. Tak lupa juga kata-kata daripada isteri SM Salim yang akan ditayangkan pada hari tersebut.
“Istimewanya lagi, dalam konsert ini nanti, kami berikan nafas baharu dari segi susunan muzik yang akan dimainkan oleh Orkestra Kuala Lumpur.
“Untuk mengembalikan nostalgia tentang dua insan hebat ini, kami turut menganjurkan pameran seperti foto-foto kenangan, koleksi album dan sebagainya di lobi auditorium sebelum bermulanya konsert.
“Biasanya apabila buat tribute, kita bukan sahaja mengenang masa silam, kita harus kaitkan dengan masa sekarang ini. Banyak lagu mereka menjadi warisan buat generasi hari ini.
“Konsert ini bukan sekadar hari ini dalam sejarah, tetapi kita harus ketengahkan apa signifikan lagu-lagu mereka pada hari ini. Itulah yang kami akan terus bawa,” ujarnya. – WILAYAHKU