Berita

Konon tidak selari, video fitnah telah disunting

Perdana Menteri ke luar negara antaranya adalah untuk menyelesaikan isu dalam Malaysia yang melibatkan rakyat.
- Diterbit 25 November 2024 2:46 PM MYT

KECOH dalam media sosial apabila terdapat segelintir netizen yang menuduh dan memfitnah kononnya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebenarnya penyokong setia Israel.

Kata mereka, ‘mulut kata kecam Israel, tetapi tangan memberi saham kepada Israel’. Tidak cukup dengan itu, ada yang mendakwa manusia yang suka bercakap bohong, lama-kelamaan akan ‘kantoi’ juga kerana dalam hatinya tidak selari dengan apa yang diucapkan.

Lebih ‘panas’ apabila tular semula video yang mendakwa kononnya Anwar mempunyai banyak akaun bank Israel sejak beliau mula aktif dalam arena politik.

Fitnah dan tuduhan melampau yang tidak berasas ini mula tular dalam media sosial gara-gara sesi wawancara Anwar mengenai konflik Israel-Palestin bersama Richard Quest daripada CNN disunting.

Suntingan ini sengaja dibuat oleh pihak tidak bertanggungjawab bagi menimbulkan persepsi negatif dan gambaran seolah-olah kerajaan mengiktiraf kewujudan Israel yang berniat mengelirukan.

Jangan mudah percaya dengan fitnah tersebut kerana Anwar adalah antara insan yang bersungguh-sungguh mengecam kezaliman yang dilakukan Israel terhadap umat Islam di Palestin.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil yang juga Menteri Komunikasi berkata, video tular tersebut tidak menggambarkan konteks pendirian yang disampaikan Perdana Menteri, iaitu Malaysia akan terus melindungi kewujudan Palestin dan tidak akan pernah sesekali mengiktiraf negara haram Israel.

Kerajaan mengesahkan rakaman video kononnya Perdana Menteri menyokong ‘kewujudan Israel’ telah disunting pihak tertentu. Fahmi berkata, pihaknya telah meneliti keseluruhan rakaman video itu dan ternyata ia telah disunting.

“Bagi saya puak-puak yang menyunting ini, apa yang kerajaan buat, mereka tidak akan pernah gembira.

“Namun, apa yang penting ialah kita perjuangkan masa depan lebih baik untuk Palestin,” katanya pada sidang akhbar mingguan pasca mesyuarat Kabinet, baru-baru ini.

Katanya, beliau telah meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) supaya meneliti dan membuat siasatan terhadap rakaman video Perdana Menteri itu untuk siasatan lanjut.

Fahmi berkata pihaknya tidak pernah menghalang rakan-rakan media untuk membuat laporan mengenai rakaman video tular itu sebaliknya berhati-hati dalam melayan sebarang spekulasi.

Dalam pada itu, Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Wilayah Persekutuan, Datuk Azman Abidin pula berkata, Perdana Menteri dan Malaysia tidak pernah mengubah dasar terhadap Israel.

Katanya, video suntingan tular yang dimainkan oleh pembangkang serta laskar siber mereka sejak 15 November lalu itu jelas perbuatan tidak bertanggungjawab demi meraih modal politik dan mengalihkan perhatian rakyat terhadap pujian dunia ke atas Anwar yang tegas membela nasib rakyat Palestin.

“Hentikanlah putar belit isu ini dengan elemen fitnah dan naratif yang diselewengkan hanya semata-mata kerana perbezaan pegangan politik.

“Saya menyeru seluruh pemimpin masyarakat untuk bersama-sama melihat perjuangan (membela Palestin) ini daripada kaca mata kemanusiaan.

“Elakkan main isu hanya untuk meraih sokongan politik. Ayuh kita tunjukkan solidariti merentasi batas kepartian dan terus mendoakan kemenangan rakyat Palestin dalam menentang kezaliman Israel,” katanya menerusi satu kenyataan baru-baru ini.

Setiausaha Politik Perdana Menteri itu menambah, Anwar telah lama dan konsisten dalam memperjuangkan solidariti terhadap Palestin sejak beliau memimpin ABIM pada 1970-an lagi.

Katanya, sosok tubuh itu komited membawa perjuangan tersebut di pentas antarabangsa sehingga mendapat pengiktirafan tokoh-tokoh pejuang Palestin.

“Keakraban beliau berdekad lamanya bersama pemimpin Palestin sejak zaman Yasser Arafat, Mahmud Abbas sehingga ke era Ismail Haniyeh sudah diketahui dunia.

“Malah, Anwar pernah dinamakan sebagai ‘Anak Palestin’ oleh Yasser Arafat atas kelantangan beliau membawa perjuangan itu di peringkat global.

“Ketika berada di Riyadh, Arab Saudi beberapa hari lalu, Anwar juga telah mengusulkan agar Israel disingkirkan daripada keanggotaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Langkah berani itu dilakukan secara terbuka dan jelas membuktikan pendirian tegas beliau terhadap dasar penindasan yang dilakukan oleh Israel,” ujarnya lagi.

Kesimpulannya, kita sebagai rakyat harus sentiasa berwaspada dan selidik terlebih dahulu sebelum mempercayai isu yang tular dalam media sosial. Ini kerana, terdapat golongan yang gemar dan seronok menyebarkan fitnah. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas