Oleh SABRINA SABRE
BAGI seseorang atlet, penjagaan kesihatan diri adalah faktor utama dalam arena sukan yang diceburi kerana hal tersebut berkait rapat dengan stamina untuk memastikan sasaran berjaya dicapai.
Ia turut diakui atlet sukan berbasikal Wilayah Persekutuan yang juga merupakan pelumba negara, Azli Najmi Zulkefli, 25, yang sentiasa menitikberatkan soal pemakanan dan latihan agar tidak terlalu berlebihan.
“Atlet perlu tahu bila masa rehat dan latihan kerana hanya kita sahaja yang memahami isyarat daripada tubuh badan sendiri, jangan overtraining. Kena pandai jaga diri sendiri kerana sekiranya badan tidak cukup sihat ia akan memberi kesan semasa kejohanan berlangsung,” kongsinya kepada Wilayahku.
Selain itu, anak ketiga daripada empat orang adik-beradik ini berkata disiplin merupakan kunci utama kejayaan seseorang individu sama ada mereka atlet baharu mahupun lama.
“Setiap atlet pastinya ada program latihan sendiri atau daripada jurulatih masing-masing, jadi ikut sahaja namun pastikan badan cukup rehat dan semestinya untuk berjaya, kita perlu melakukan latihan lebih daripada orang lain,” ujarnya yang sudah bergiat aktif dalam sukan berbasikal sejak berusia 10 tahun.
Baru sahaja dinobatkan sebagai johan dalam Kejohanan Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-anggota Kerajaan Malaysia (MAKSAK), Azli Najmi sebelum ini pernah berehat selama tiga tahun dari dunia sukan ekoran pandemik COVID-19 dan dalam masa yang sama menumpukan perhatian kepada kerjaya sebagai seorang guru.
“Alhamdulillah, dengan kemenangan yang diperoleh setelah kemunculan semula ini, sudah pasti saya teruja dan lebih bersemangat untuk terus menceburkan diri dalam sukan berbasikal.
“Kebiasaannya saya akan memperuntukkan masa dua jam untuk sesi latihan pada hari bekerja manakala lima hingga enam jam pada hujung minggu. Biarpun agak memenatkan namun ia semua dilakukan kerana minat yang mendalam,” jelasnya yang berazam untuk kembali menyinar dalam Kejohanan Le Tour De Langkawi 2024. – WILAYAHKU
Pencapaian Azli Najmi:
2019 – Le Tour De Langkawi – 3rd Best Asian Team
2017 – Tour De Selangor – 2nd Best Young Rider
2015 – 4th Asian Cycling Championship (Track Individual Persuit)