Berita

Konflik hidupan liar, PPj tidak berdiam diri

PIHAK PPj mengambil tindakan pantas turun padang melawat kawasan selepas aduan dibuat
- Diterbit 27 Julai 2024 10:18 PM MYT

KONFLIK hidupan liar tidak hanya berlaku di luar bandar, sebaliknya ia turut dihadapi di pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan.

Ular adalah antara hidupan liar yang berjaya menceroboh masuk ke Wilayah Persekutuan Putrajaya sehingga mencetus kebimbangan penduduk tempatan yang rata-ratanya terdiri daripada penjawat awam.

Menurut Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk TPr Fadlun Mak Ujud, sebanyak empat aduan berkenaan kehadiran ular berkeliaran di kawasan awam di Putrajaya telah direkodkan dari bulan Januari hingga Julai 2024.

“PPj menerima aduan ular yang berkeliaran di kawasan kejiranan P11J dan Kediaman Flora Rosa. Kami  telah melakukan siasatan di tapak dan mendapati kawasan tersebut berhampiran dengan kawasan belukar yang menjadi habitat asal hidupan liar tersebut.

“Kami telah sarankan beberapa kaedah kepada pihak pengurusan bangunan dalam menangani isu berkenaan termasuk pengurusan kebersihan kawasan bagi menjadikan kawasan persekitaran kediaman bebas daripada kehadiran ular.

“Bagi mengawal populasi hidupan liar itu, pihak PPj menerusi Seksyen Hortikultur dan Hidupan Liar, Jabatan Landskap dan Taman tidak akan berdiam diri dan sentiasa memastikan ancaman itu dapat dikawal,” ujar beliau.

Fadlun berkata pihaknya sentiasa berkongsi maklumat aduan dan bekerjasama dengan pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (BOMBA), Jabatan PERHILITAN Semenanjung Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan orang awam dalam menangani isu berkaitan kehadiran hidupan liar termasuk ular di Putrajaya.

“Pihak PPj akan sentiasa memastikan persekitaran di seluruh kawasan Putrajaya berada dalam keadaan yang selamat kepada orang awam.

“Ia termasuk memastikan keseluruhan kawasan awam berada dalam keadaan yang bersih dan terjaga,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan orang awam untuk bersama-sama membantu menghubungi pihak berkuasa di talian kecemasan sekiranya ternampak dan terlihat kehadiran ular di kawasan awam serta perumahan bagi tindakan pencegahan yang berkesan.

Baru-baru ini, tular di media sosial penduduk sekitar Presint 11 resah gara-gara sering menjumpai ular berkeliaran berdekatan dengan kediaman mereka.

Dakwa penduduk, dalam tempoh seminggu lebih tiga kali orang awam terserempak reptilia itu antaranya spesies ular sawa, tedung dan ular tikus. Kelibatnya dijumpai bukan sahaja dekat taman permainan, malah laluan pejalan kaki dan kolam renang.

Lebih membimbangkan apabila hidupan liar itu menjadi ‘tetamu tidak diundang’ bersembunyi dalam rumah penduduk. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas