KOMPOSER legenda, Datuk S Atan disahkan meninggal dunia pada usia 75 tahun di kediamannya di Kajang jam 3.35 petang, hari ini.
Pada 16 September lalu, S Atan dimasukkan ke sebuah pusat perubatan, di sini, akibat jangkitan kuman dalam paru-paru.
Sebelum ini, S Atan pernah dimasukkan ke hospital pada 2006 kerana menghidap angin ahmar.
Pada Februari 2019, komposer yang banyak menghasilkan lagu raya malar segar itu sekali lagi menerima rawatan di hospital akibat masalah buah pinggang.
S Atan sudah lebih empat dekad terbabit dalam bidang muzik dan sudah menghasilkan lebih 1,000 lagu hits nyanyian penyanyi popular seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Datuk Sharifah Aini, Datuk Sudirman, Datuk Jamal Abdillah, Datuk Sheila Majid, Jay Jay dan ramai lagi. – WILAYAHKU