Berita

Kompleks sukan berwajah baharu, usaha kerajaan disambut baik

PRODUK-PRODUK tarikan pelancongan di Labuan semakin bertambah.
- Diterbit 19 November 2024 1:47 PM MYT

RATA-RATA penduduk di pulau ini teruja menanti wajah baharu Kompleks Sukan Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Labuan yang kini dalam kerja-kerja naik taraf dan dijangka siap pada suku ketiga tahun hadapan.

Menurut salah seorang penduduk, Emma Shawina Harun, 29, usaha pihak kerajaan itu bakal memudahkan warga Labuan terutamanya atlet untuk mendapatkan kemudahan melakukan aktiviti sukan yang lebih selesa.

“Saya berharap dengan adanya kompleks sukan berwajah baharu ini mampu memberikan semangat baharu kepada kita semua untuk terlibat dalam kegiatan sukan khususnya dapat melahirkan atlet pelapis yang berdaya saing,” katanya kepada Wilayahku.

Sementara itu, atlet golongan orang kurang upaya (OKU) dalam acara angkat berat, Rafli Suhaili berkata kemudahan yang bakal dinikmati memberi sinar baharu khususnya atlet OKU untuk mendapatkan sesi latihan yang lebih baik.

“Sememangnya kemudahan yang sedia ada sebelum ini tidak mencukupi dan serba kekurangan sekali gus menjadi kekangan untuk kami melakukan latihan.

“Dengan adanya kompleks berwajah baharu ini  akan memberikan dorongan kepada kami untuk berusaha mempertingkatkan prestasi dalam bidang sukan,” katanya.

Terdahulu, projek menaik taraf dan penyelenggaraan fasiliti bangunan tersebut yang bernilai RM20 juta itu telah mencapai 65 peratus siap yang melibatkan pembinaan baharu dan pengubahsuaian antaranya bangunan dewan, padang bola sepak, trek larian dan perobohan kolam renang.

Presiden Majlis Belia Labuan (MBL), Nazera Roslan menzahirkan penghargaan kepada kerajaan dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam usaha menaik taraf kompleks tersebut.

“MBL ucapkan terima kasih dan kami sebagai badan bukan kerajaan (NGO) sentiasa mengangkat suara belia dalam pelbagai aspek khususnya dalam sukan,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh memaklumkan kerja-kerja menaik taraf dan penyelenggaraan bangunan fasiliti itu dapat dilaksanakan berdasarkan jadual yang telah ditetapkan meskipun menghadapi kesukaran mendapatkan bahan dari tanah besar Sabah dan Semenanjung Malaysia.

“Projek naik taraf di Labuan memerlukan masa dan banyak bahan datang dari Semenanjung cuma saya berharap mereka akan mengikut jadual.

“Saya tidak mahu penangguhan yang akan menyebabkan kos meningkat. Saya tahu hasrat penduduk adalah untuk menggunakan fasiliti secepat mungkin seperti balapan.

“Difahamkan apabila dibuka nanti, kira-kira 1,000 hingga 2,000 orang menggunakan balapan itu. Jadi ini adalah satu keperluan untuk penduduk,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas