Berita

Komited majukan dan makmurkan Wilayah Persekutuan – Dr Zaliha

Kredit foto: FacebookDr Zaliha Mustafa
- Diterbit 12 Disember 2023 5:53 PM MYT

DR Zaliha Mustafa yang dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) komited untuk menggalas amanah dan tanggungjawab dalam merangka usaha memajukan dan memakmurkan lagi Wilayah Persekutuan.

Dr Zaliha dalam kenyataan hari ini berkata beliau menyambut baik pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam rombakan Kabinet hari ini berkenaan pertukaran portfolio beliau daripada Menteri Kesihatan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan).

“Kepercayaan yang diberikan perdana menteri akan saya galas dengan penuh amanah dan tanggungjawab selaras dengan aspirasi Kerajaan Perpaduan dan Malaysia MADANI dalam merangka usaha memajukan dan memakmurkan lagi Wilayah Persekutuan melalui aspek pembangunan sosial, ekonomi Komuniti Wilayah Persekutuan,” katanya.

Dr Zaliha dalam kenyataan itu turut mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih serta penghargaan kepada semua warga kerja Kementerian Kesihatan (KKM) atas sokongan yang diberikan sepanjang beliau menerajui kementerian itu. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas