PERTUBUHAN Koperasi BUMIPEDA Berhad (KOBB) bakal membantu pengusaha-pengusaha stesen minyak Bumiputera di Malaysia dalam mengimbangi kenaikan kos-kos perniagaan yang akan datang.
Presiden Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Bumiputera Malaysia (BUMIPEDA), Datuk Abdul Aziz Sapian berkata semua pengusaha itu perlu bersiap sedia dengan perkara itu.
“Kita dicetuskan kenaikan harga minyak. Kita kena siap sedia untuk kos-kos akan datang yang akan naik.
“Apabila sudah memikirkan ke depan maka koperasi ditubuhkan. Koperasi kita boleh niaga untuk membantu rakan-rakan yang ada di bawah nanti,” katanya pada sidang medianya selepas merasmikan Mesyuarat Agong Tahunan Pertama KOBB.
Menurut Abdul Aziz, penubuhan koperasi itu bukan untuk menonjolkan diri beliau.
Beliau berkata sebaliknya mahu memikirkan masa depan ekonomi orang Melayu dalam bidang perniagaan stesen minyak.
“Itu matlamat kita,” katanya.
Sementara itu, Abdul Aziz berkata peniaga-peniaga stesen minyak Bumiputera harus bersedia dari sekarang untuk memastikan perniagaan mereka dalam keadaan baik.
Beliau berkata penubuhan koperasi ini akan membolehkan bantuan diberikan kepada peniaga yang memerlukan.
“Jadi salah satunya cepat-cepat tubuh koperasi dan ia juga memberi mandat kepada kita punya ‘board’ untuk menerajui dengan pengalaman yang ada,” katanya. – WILAYAHKU