Selebriti

KLIFAA martabat industri filem

AZLAN (kiri) bersama Azmir dan Afdlin (dua dari kanan) pada sidang media.
- Diterbit 12 Januari 2024 12:10 PM MYT

LEBIH 50 buah negara bakal menyertai Anugerah Akademi Filem Antarabangsa Kuala Lumpur 2024 (KLIFAA) pada 7 hingga 11 Ogos depan di Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Pengerusi KLIFAA, Tengku Azlan Sultan Abu Bakar berkata tiba masanya Malaysia tampil menjadi tuan rumah bagi acara majlis anugerah berprestij industri hiburan yang mengiktiraf karya filem terbaik di peringkat antarabangsa.

“Visi dan matlamat penganjuran KLIFAA untuk edisi pertama ini diharapkan dapat menjadi bukti kehebatan seni pembikinan filem terbaik dengan bahasa penceritaan sejagat.

“Selain itu ia akan menyerlahkan komitmen penganjuran festival dalam mempromosikan kepelbagaian, kecemerlangan artistik serta keterangkuman industri produksi filem dan televisyen global.

“Justeru, saya amat berharap pihak kerajaan menerusi kementerian berkaitan dapat memberi kerjasama dan menyokong usaha murni yang dilakukan ini untuk memartabatkan lagi bidang perfileman tanah air ke peringkat lebih tinggi,” katanya pada sidang media sempena penganjuran KLIFAA di Panggung 1, Kompleks Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS), baru-baru ini.

Azlan berkata KLIFAA turut berhasrat agar ia dapat diteruskan menjadi lebih daripada satu majlis anugerah yang mampu diiktiraf sebagai platform terbaik bagi pertukaran budaya.

“Malah, antara program komprehensif yang dirancang pada festival ini ialah tayangan filem, termasuk perbincangan panel, kelas pakar, jaringan perniagaan dan majlis anugerah berprestij,” ujar beliau.

Difahamkan, kira-kira 21 buah negara yang berminat sudah bersetuju menyertai KLIFAA dan turut mendapat sokongan positif daripada pihak kedutaan negara masing-masing untuk menghantar penyertaan.

Sehubungan itu, bagi pembikin filem dan artis berbakat di seluruh dunia yang berminat boleh mengambil bahagian dengan menghantar karya mereka untuk penilaian mengikut kategori dipertandingkan dari 1 Mac hingga 31 Mei depan dengan melayari laman sesawang KLIFAA.

Terdahulu, turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib dan Pengerusi Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM), Datuk Afdlin Shauki. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas