Berita

KLIA Ekspres, KLIA Transit terganggu akibat kecurian kabel

- Diterbit 9 April 2025 3:15 PM MYT

EXPRESS Rail Link Sdn Bhd (ERL) mengesahkan gangguan terhadap perkhidmatan kereta api KLIA Ekspres dan KLIA Transit berpunca daripada perbuatan vandalisme melibatkan beberapa siri kecurian kabel diikuti gangguan sistem isyarat di Bandar Tasik Selatan semalam.

ERL dalam satu kenyataan hari ini berkata insiden tersebut menjejaskan operasi kereta api mereka dan perjalanan penumpang ke destinasi masing-masing.

“Insiden pemotongan kabel pertama berlaku di KM48.5 antara Stesen Salak Tinggi dan Terminal 1 (T1) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sekitar pukul 6.20 pagi.

“Berikutan itu, perkhidmatan gabungan untuk KLIA Ekspres dan KLIA Transit telah diaktifkan pada pukul 6.58 dari KLIA T2 dan 7 pagi dari KL Sentral.

“Perkhidmatan perantara juga disediakan dari Salak Stesen Tinggi ke KL Sentral pada pukul 7.40 pagi untuk menangani waktu sesak di sebelah pagi. Perkhidmatan tren disambung semula pada pukul 10 pagi dari KL Sentral dan 9.48 pagi dari KLIA T2,” katanya.

Menurut kenyataan itu, kejadian kedua berlaku di KM43.1 pada pukul 5.52 petang antara Putrajaya & Cyberjaya dengan Stesen Salak Tinggi menyebabkan semua tren mengalami kelewatan antara tujuh hingga 10 minit dalam masa ketibaan.

“Satu lagi insiden melibatkan gangguan sistem isyarat di Stesen Bandar Tasik Selatan menyebabkan semua perkhidmatan kereta api digantung pada pukul 9.57 malam. Perkhidmatan perantara antara Putrajaya & Stesen Cyberjaya ke KLIA T2 bermula pukul 10.20 malam dengan kekerapan setiap 20 minit manakala penumpang yang menuju ke KL Sentral dari Putrajaya & Cyberjaya dinasihatkan untuk mencari pengangkutan alternatif,” katanya.

ERL berkata pemotongan kabel ketiga berlaku di KM47.2 pada pukul 4.47 pagi hari ini, antara Stesen Salak Tinggi dan KLIA T1 diikuti pemotongan kabel keempat di KM40.6 sekitar pukul 5.20 pagi, antara Stesen Salak Tinggi dengan Stesen Putrajaya & Cyberjaya.

“Kejadian yang dikesali ini menjejaskan operasi tren kami dan perjalanan penumpang ke destinasi mereka. Pasukan kami buat masa ini bekerja sepanjang masa untuk memulihkan sepenuhnya perkhidmatan. Kami memahami kesan gangguan terhadap penumpang dan memohon maaf atas kesulitan atau kelewatan dialami.

“Penumpang juga dinasihatkan untuk merancang perjalanan mereka dengan sewajarnya dan mengikuti platform media sosial kami untuk mendapatkan perkhidmatan kereta api terkini. Bagi penumpang yang terjejas dengan kejadian ini boleh meminta bayaran balik dengan menghantar e-mel kepada [email protected].,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas