Berita

KLFA lunas tunggakan

- Diterbit 19 November 2024 3:05 PM MYT

PERSATUAN Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) telah menyelesaikan sebahagian tunggakan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pemain Kuala Lumpur City (KL City) FC yang gagal dibayar sejak 2021 hingga Februari tahun ini.

Menurut Presiden KLFA, Syed Yazid Syed Omar, pihaknya telah melunas tunggakan berjumlah RM50,000 selain memaklumkan tunggakan lain akan diselesaikan secara berperingkat.

“KWSP bagi tempoh bulan ini dan akan datang kita tetap bayar seperti biasa, tunggakan KWSP kita sudah bayar sebanyak RM50,000 selama 24 bulan,” katanya pada Mesyuarat Agung Kelab Penyokong Bolasepak KLFA.

Syed Yazid berkata tunggakan sebulan gaji pemain bagi bulan Oktober telah pun masuk ke akaun masing-masing pada Isnin (11 November).

Beliau berkata pihaknya sudah membuat pembayaran baru-baru ini, namun terdapat beberapa masalah teknikal daripada pihak bank, yang menyebabkan berlaku sedikit kelewatan.

Dalam perkembangan lain, Syed Yazid berkata KLFA sedang mempertimbangkan untuk mendapatkan pemilikan penuh bagi Stadium Bolasepak Kuala Lumpur di Cheras daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Kita perlu berjumpa Datuk Bandar yang baharu, kembali kepada proses sebelum ini. Kita ada tandatangan dengan DBKL selama 15 tahun,” ujarnya.

Syed Yazid berkata pihaknya bakal memberikan tiket aksi Piala Malaysia dan baju-T kepada ahli Kelab Penyokong Bolasepak KLFA selain menyalurkan sumbangan RM5,000 kepada kelab berkenaan.

Terdahulu, Syazrul Effendy Ibrahim kekal menerajui Kelab Penyokong Bolasepak KLFA sebagai presiden bagi tempoh 2024-2026. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas