Berita

KLCCD: Daya penarik untuk industri kreatif

- Diterbit 30 Disember 2024 1:09 PM MYT

AKTIVITI dan program kebudayaan, kesenian dan sukan adalah penting bagi perkembangan fizikal dan minda warga kota di samping mengukuhkan semangat kemasyarakatan, kata Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Shariff.

Jelas Datuk Bandar Kuala Lumpur itu, bandar raya Kuala Lumpur perlu membangun sebagai satu entiti moden dengan identiti dan imej tersendiri yang kaya dengan warisan, seni dan budaya yang menjadi kebanggaan warga kota dan negara.

“Sejajar dengan itu, DBKL dengan kerjasama Khazanah Nasional Bhd dan Think City Sdn Bhd akan membangunkan Daerah Budaya dan Kreatif Kuala Lumpur (KL Creative and Cultural District, KLCCD) di sekitar Kompleks Bangunan Sultan Abdul Samad dan Dataran Merdeka.

“KLCCD adalah kawasan pusat bandar yang dihidupkan sebagai pusat kreatif dengan menjadi daya penarik untuk industri kreatif dan dalam masa yang sama akan membuka peluang pekerjaan kepada warga kota,” katanya ketika membentangkan Belanjawan DBKL 2025 pada Khamis.

Dalam usaha mencapai sasaran berkenaan, pihaknya memperuntukkan RM11.3 juta menerusi peruntukan mengurus tahun 2025. –WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas