ADAKAH bandar raya Kuala Lumpur sudah sesak? Ini mengambil kira jumlah penduduknya kini mencecah lebih 8.8 juta orang. Memetik Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan)‚ Dr Zaliha Mustafa‚ peningkatan penduduk ialah 2.25 peratus berbanding tahun lalu.
Kadar peningkatan ini‚ jumlah penduduk dijangka bertambah kepada 9.8 juta orang menjelang tahun 2030‚ hanya enam tahun dari sekarang. Justeru‚ ini cabaran besar bagi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) merancang pembangunan‚ penyediaan infrastruktur serta memenuhi keperluan warga kota.
Kerana ibu negara ialah pusat pertumbuhan ekonomi dan kewangan‚ ramai dari luar bertumpu ke Kuala Lumpur untuk mencari rezeki. Banyak peluang pekerjaan ditawarkan. Oleh itu‚ ibu kota bukan sahaja dipenuhi oleh warga asal‚ tetapi juga masyarakat luar yang bermastautin.
Ertinya pertumbuhan penduduk Kuala Lumpur bukan semata-mata ekoran pertambahan semula jadi dalam kawasan bandar‚ tetapi juga oleh masyarakat luar. Kadar kemasukan dari luar ini tinggi‚ menjelaskan kenapa pertambahan penduduk ibu kota agak pantas.
Bagi kawan-kawan Kedai Kopi‚ sejajar dengan kehebatan dan pembangunan pesat ibu kota‚ situasi ini tidak menghairankan. Ramai beranggapan Kuala Lumpur adalah kota metropolitan yang boleh memperbaiki kehidupan lantaran peluang kerja lebih banyak berbanding luar bandar terutamanya.
Walaupun begitu‚ dalam situasi ini DBKL sentiasa berusaha keras memenuhi keperluan pembangunan serta memastikan kehidupan berkualiti warga kota. – WILAYAHKU