Berita

KL Strike Force laksana lebih 1,100 tindakan penguatkuasaan

Foto: Facebook Dr Zaliha Mustafa
- Diterbit 12 Disember 2024 2:39 PM MYT

KL Strike Force telah berjaya menjalankan lebih 1,100 tindakan penguatkuasaan melibatkan lebih 2,200 tangkapan dengan kerjasama pelbagai agensi penguatkuasaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata objektif penubuhannya adalah untuk menjadikan bandar raya Kuala Lumpur sebagai sebuah bandar yang selamat adalah menjadi keutamaan beliau.

“Sebab itu, dalam Parlimen baru-baru ini saya sebut – “jangan macam-macam di Kuala Lumpur”. Aktiviti-aktiviti seperti persundalan, peniagaan tanpa permit, struktur-struktur haram tidak sepatutnya ada dan tindakan seperti ini tidak boleh mendapat tempat di Kuala Lumpur,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program Setahun Bersama Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini.

Zaliha berkata antara agensi yang terlibat termasuk Jabatan Imigresen, PDRM, Jabatan Kastam, Kementerian Kesihatan, Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Kebajikan Masyarakat, KPDN dan Agensi
Antidadah Kebangsaan.

“Walau bagaimanapun, saya minta supaya DBKL dan semua agensi KL Strike Force untuk bertindak lebih proaktif berbanding bersifat responsif atau reaktif hanya kepada aduan semata-mata. Tempat-tempat
yang telah kita ambil tindakan perlu dibuat repurpose dengan kadar yang segera,” katanya.

Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) Datuk Noridah Abdul Rahim serta ketua-ketua agensi yang berkaitan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas