Berita

KL Strike Force gempur Brickfields: 4 premis tutup, 19 warga asing ditahan

- Diterbit 17 April 2025 11:30 AM MYT

EMPAT premis perniagaan yang dijalankan warga asing di sekitar Jalan Thamby Abdullah, Brickfields diarahkan tutup serta-merta selepas diserbu dalam Operasi Tindakan Khas KL Strike Force oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Operasi bersepadu yang berlangsung malam tadi menyasarkan lapan premis perniagaan yang dikenal pasti melanggar pelbagai peraturan dan undang-undang tempatan.

DBKL dalam hantaran di facebook memaklumkan, empat premis ditutup mengikut peruntukan Undang-Undang Kecil (UUK) Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (WPKL) 2016 serta UUK Pelesenan dan Penjajaan Makanan (WPKL) 2016. Sebanyak tujuh notis kompaun turut dikeluarkan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 dan peraturan pelesenan berkaitan.

Dalam pada itu, JIM menahan 19 lelaki warga asing — terdiri daripada 17 warga Bangladesh dan dua warga Pakistan — atas kesalahan tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah serta menyalahgunakan permit kerja.

Sementara itu, KPDN mengeluarkan enam kompaun mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 serta Akta Timbang dan Sukat 1972. Empat kes turut diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, membabitkan penyitaan barang kawalan seperti gula, minyak masak, tepung gandum dan beberapa barangan lain yang dipercayai disimpan atau dijual tanpa lesen sah.

“DBKL bersama agensi penguat kuasa akan terus mempertingkatkan pemantauan dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar syarat lesen serta undang-undang sedia ada,” tegas DBKL.

Operasi ini merupakan sebahagian daripada pendekatan agresif pihak berkuasa bagi memastikan pematuhan undang-undang, keselamatan perniagaan dan kesejahteraan bandar raya Kuala Lumpur terpelihara.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas