Artikel

KL: Lokasi mampu dilawati

- Diterbit 30 Ogos 2024 3:20 PM MYT

MENURUT laporan Travel+Leisure‚ Kuala Lumpur berada pada tempat kelapan sebagai bandar raya mampu dilawati di Asia‚ di belakang Tokyo dan Manila. Taipei (Taiwan)‚ bandar raya Ho Chi Minh (Vietnam) dan Jakarta (Indonesia)‚ masing-masing menduduki tempat pertama‚ kedua dan ketiga.

Kedudukan Kuala Lumpur ini berdasarkan data daripada carian di Internet berhubung perkhidmatan pengembaraan seperti kemudahan penerbangan‚ hotel‚ sewa kereta dan pakej percutian yang ditawarkan. Pencarian dibuat antara Januari hingga Jun 2024 bagi perjalanan Jun hingga Disember 2024.

Antara kriteria utama diambil kira apabila ingin melancong ialah kos kehidupan di lokasi yang hendak dituju. Kawan-kawan Kedai Kopi percaya ini juga yang menjadi perhitungan bagi rakyat Malaysia amnya dan warga Kuala Lumpur khasnya jika ingin melancong ke luar negara.

Bandar raya yang kos perbelanjaannya lebih murah dan mampu biasanya lebih menjadi pilihan. Ini bermakna pelancong tidak perlu membelanjakan banyak wang selama berada di tempat tersebut‚ apatah lagi jika kadar tukaran mata wang tinggi.

Jika diteliti‚ ternyata bandar raya di Asia Tenggara mendominasi kedudukan bandar mampu ini. Enam daripada 10 bandar raya yang disenarai terletak di rantau ini. Di Kuala Lumpur sendiri‚ kadar kos bagi seorang pelancong dianggarkan AS$1‚505 atau RM6‚776.

Pada hemat kawan-kawan Kedai Kopi‚ jumlah ini adalah kecil berbanding banyak bandar raya besar di dunia. Bagi negara yang mempunyai nilai mata wang lebih tinggi daripada Malaysia memang tidak ada masalah untuk rakyatnya datang. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas