PROGRAM Karnival KL Ceria 2024 anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menjadi wadah dalam mengeratkan lagi kerjasama dalam institusi kekeluargaan, kaum dan juga pelbagai pihak berkepentingan.
Pengarah Eksekutif Pembangunan Sosioekonomi DBKL, Ismadi Sakirin berkata program yang berkonsepkan karnival itu menawarkan pelbagai aktiviti riadah atau rekreasi, permainan tradisional, jualan serta persembahan buat orang ramai.
“Kebiasaannya program KL Ceria ini diadakan sebanyak empat kali setahun dan ini merupakan penganjuran kali terakhir pada tahun 2024 di mana kita mengetengahkan konsep karnival buat pertama kali.
“Kalau sebelum ini tempoh penganjuran hanya dalam empat hingga lima jam sahaja tapi kali ini kita adakan bermula pukul tujuh pagi sehingga tujuh malam dengan pelbagai elemen seperti hiburan, jualan, aktiviti riadah dan banyak lagi,” katanya ketika ditemui Wilayahku baru-baru ini.
Ismadi berkata penganjuran kali ini juga berjaya melepasi sasaran pengunjung yang ditetapkan membuktikan warga kota memerlukan program-program sebegini bagi mengisi masa lapang bersama keluarga, rakan mahupun kenalan.
“Pastinya sasaran pengunjung adalah mereka yang melakukan aktiviti riadah di sekitar Taman Tasik Titiwangsa ini tambahan pula kita adakan di kawasan terbuka jadi orang ramai boleh datang dan menyertai program ini juga.
“Tujuan utama program ini adalah untuk mengeratkan lagi serta menghidupkan hubungan di antara keluarga dengan melakukan aktiviti yang ditawarkan bersama-sama. Selain itu, pelbagai pihak juga dapat berganding bahu bersama-sama dalam menghidupkan lagi program ini,” ujarnya.
Dalam pada itu, Ismadi turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak terlibat dalam menjayakan penganjuran program pada kali ini.
“Diharapkan untuk penganjuran program yang seterusnya atau apa sahaja program berkaitan DBKL terutamanya, orang ramai dapat bersama-sama membantu dan menyokong serta turun padang bagi meramaikan dan memeriahkan majlis.
“Antara aktiviti yang diadakan adalah zumba, pertandingan mewarna, karaoke, teqball, permainan tradisional, gerai jualan dan banyak lagi. Kita juga menyediakan persembahan bertenaga dari kumpulan Kristal X, Ani Mayuni, Oya Suria, Reloveution, Kombo Orkestra Kuala Lumpur dan ramai lagi,” katanya. – WILAYAHKU