Berita

KKR lantik enam kontraktor lantikan SST

- Diterbit 25 Mac 2025 7:15 PM MYT

ENAM projek menaik taraf diserahkan kepada kontraktor lantikan menerusi Surat Setuju Terima (SST) serta melibatkan Pegawai Penguasa Projek yang terdiri daripada Pengarah Pembinaan, Pasukan Projek Khas, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan empat Jurutera Daerah melalui Surat Pelantikan Pegawai Penguasa Projek.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pelantikan hari ini bukti Kementerian Kerja Raya (KKR) terus komited dalam menyediakan infrastruktur yang berkualiti, selamat dan selesa kepada pengguna jalan raya.

“Ia juga bagi meningkatkan aksesibiliti, mobiliti dan saling keterhubungan antara rakyat Malaysia bandar dan luar bandar selari dengan aspirasi Malaysia MADANI dan Program MYJALAN.

“KKR mengucapkan tahniah kepada semua syarikat kontraktor yang dilantik dan berharap mereka dapat memberikan komitmen kepada aspek kualiti terutamanya dari segi pematuhan spesifikasi, kos dan masa yang ditetapkan, serta mengutamakan aspek keselamatan di kawasan tempat kerja.

“KKR melalui JKR Malaysia akan memantau kualiti kerja serta menilai prestasi setiap kontraktor dalam memastikan enam projek ini akan memberi manfaat kepada kesejahteraan rakyat MADANI,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Alexander berkata daripada enam projek yang menerima SST, empat daripadanya adalah projek di bawah KKR dengan kos keseluruhan adalah RM156.51 juta.

“Tiga projek adalah melibatkan penggantian jambatan yang akan memberikan keselesaan kepada pengguna jalan raya.

“Manakala satu projek naik aras jalan di lima lokasi yang sering berlaku banjir sehingga menyebabkan laluan terputus dan kerja-kerja memperelok selekoh yang merupakan kawasan kerap berlaku kemalangan.

“Dua projek lagi adalah di bawah Kementerian Kemajuan Desa Wilayah (KKDW) dengan kos keseluruhan adalah RM17.95 juta,” katanya.

Jelasnya antara projek yang terlibat adalah Projek menaik aras Jalan Kota Tinggi – Mersing (FT003), Kota Tinggi, Johor; Projek menggantikan pembetung kepada jambatan di laluan Jalan Paya Kemunting (Jitra) – Bukit Kayu Hitam (FT001), Kedah; Projek mengganti jambatan Jalan Perwira Jaya – Selancar (FT2490), Rompin, Pahang; Projek mengganti Jambatan Gantung di Kampung Rekoh, Rompin, Pahang; Projek membina baru Jambatan Konkrit di Kawasan Eco Rimba Kenong Mukim Cheka 2, Pahang dan Projek mengganti jambatan FT1292 di Seksyen 2.90, Jelebu, Negeri Sembilan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas