Berita

KKM tumpu perkasa perkhidmatan pakar di Hospital Labuan

- Diterbit 26 November 2024 11:13 AM MYT

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) buat masa ini sedang memberi fokus untuk memperkasa perkhidmatan kepakaran di Hospital Labuan.

Untuk itu jelas KKM, pihaknya belum ada perancangan untuk membina hospital baharu di Wilayah Persekutuan itu.

“Hospital Labuan berkapasiti 122 katil merupakan hospital pakar minor dengan kadar penggunaan katil antara 50 hingga 60 peratus dalam tempoh lima tahun terkini.

“Buat masa ini KKM memberi fokus untuk memperkasakan perkhidmatan kepakaran di Hospital Labuan dan tiada perancangan untuk membina hospital baharu,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

KKM menjawab soalan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (BEBAS-Labuan) mengenai perancangan pihak kementerian untuk membina hospital baharu di Labuan.

KKM menambah, dalam usaha untuk perluasan perkhidmatan kepakaran tersebut, terdapat perancangan untuk membina sebuah blok klinikal tambahan tertakluk kepada keupayaan penyediaan tenaga kerja, peruntukan serta kelulusan kerajaan.

Selain itu katanya, KKM akan memberi keutamaan kepada menaik taraf bangunan sedia ada bagi memastikan perkhidmatan yang berkualiti disediakan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas