Berita

KKM tubuh pasukan khas siasat kematian pakar perubatan patologi

- Diterbit 2 Oktober 2024 5:43 PM MYT

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) menubuhkan pasukan petugas khas bebas bagi menyiasat insiden kes kematian pakar perubatan patologi di Lahad Datu, Sabah.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pasukan yang akan berkuat kuasa pada 10 Oktober ini dipengerusikan Tan Sri Borhan Dollah yang berpengalaman menyandang pelbagai jawatan dalam perkhidmatan awam, dengan jawatan terakhir sebagai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam.

Beliau berkata, ia juga dianggota lima ahli bebas bukan anggota KKM yang berpengetahuan dan mempunyai kepakaran dalam bidang perubatan, psikiatri, patologi, kesihatan mental dan perlakuan buli.

“Pasukan petugas khas itu berperanan melaksanakan siasatan dan menganalisis input daripada siasatan insiden kematian Pakar Perubatan Patologi Kimia di Lahad Datu secara khusus serta meneliti budaya kerja di Hospital Lahad Datu.

“Mereka juga akan mengenal pasti dan mengesahkan sama ada wujud perlakuan buli di Hospital Lahad Datu secara umum dan di Jabatan Patologi Hospital Lahad Datu secara khusus,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Dr Dzulkefly berkata, selain itu pasukan terbabit akan mengenal pasti jenis perlakuan buli yang cenderung berlaku di KKM serta faktor dalaman dan luaran yang menyumbang kepada perlakuan tersebut

Kata beliau, mereka juga akan menyediakan laporan hasil siasatan berkaitan insiden kematian pakar terbabit serta cadangan penambahbaikan bagi mencegah dan menangani perlakuan buli di fasiliti kesihatan dalam masa tiga bulan dari tarikh penubuhan.

“KKM berpendirian tegas dan tidak bertolak ansur dengan perlakuan buli di tempat kerja. KKM komited untuk memperbaiki persekitaran kerja supaya lebih harmoni dan kondusif.

“KKM yakin usaha ini akan membuahkan hasil dan mendapat kerjasama daripada semua warga KKM selaras dengan visi untuk menyediakan perkhidmatan kesihatan terbaik untuk Malaysia MADANI,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas