Berita

KKM tidak pinggir doktor kontrak

- Diterbit 14 Mac 2024 3:20 PM MYT

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) menegaskan, pihaknya tidak pernah meminggirkan doktor kontrak yang berkhidmat di fasilitinya.

Kemudahan dan insentif yang diterima oleh doktor kontrak adalah hampir sama dengan kemudahan yang diterima doktor berjawatan tetap

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, kemudahan dan insentif yang diterima oleh doktor kontrak adalah hampir sama dengan kemudahan yang diterima doktor berjawatan tetap.

“Antara kemudahan yang diterima seperti, Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal, Elaun Waktu Bekerja Fleksi, Elaun Tugas Atas Panggilan dan lain-lain.

“Selain itu, dari segi kemudahan cuti, doktor kontrak menerima cuti rehat yang sama dengan doktor berjawatan tetap; dan kemudahan setara Cuti Belajar Bergaji Penuh (CBBP) Dengan Hadiah Latihan Persekutuan (HLP),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi pihak kementerian di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Lukanisman, doktor kontrak turut diberi lanjutan perkhidmatan jika diberi kelulusan.

“Doktor kontrak juga diberi peluang untuk melanjutkan tempoh perkhidmatan kontrak hingga maksimum 11 tahun jika diluluskan pengajian kepakaran,” ujarnya.

Sementara itu, Lukanisman berkata, penambahbaikan kadar Elaun On-Call kini sedang dalam peringkat akhir memuktamadkan perkara ini sebelum dikemukakan kepada Agensi Pusat untuk dipertimbang.

Tambah beliau, berhubung pemberian kadar elaun Lokum sebanyak RM80 sejam, pegawai perubatan yang diarahkan bertugas di luar waktu pejabat di Klinik Kesihatan dan Klinik Rawatan Pesakit Jabatan Kecemasan pada hari bekerja biasa, Sabtu dan hari kelepasan am adalah layak untuk menerima elaun tersebut.

“Bagi menambahbaik insentif sedia ada diterima pegawai perubatan yang diarah bertugas dalam waktu perluasan (extended hours), sukacita saya ingin memaklumkan bahawa kerajaan telah bersetuju untuk meluluskan pemanjangan elaun Lokum kepada pegawai perubatan yang diarahkan bertugas pada hari kelepasan mingguan iaitu pada hari Jumaat atau Ahad berkuat kuasa 1 Januari lalu.

“Kerajaan juga telah bersetuju meluluskan pemanjangan elaun Lokum pada kadar RM25 sejam kepada Pegawai Farmasi dan Juru X-Ray dalam kumpulan Pengurusan dan Profesional yang diarahkan bertugas dalam waktu peluasan di Klinik Kesihatan dan Klinik Rawatan Pesakit Jabatan Kecemasan, berkuat kuasa 1 Januari lalu,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas