Berita

KKM siasat satu lagi kes kematian pengamal perubatan disyaki dibuli

Foto: BERNAMA
- Diterbit 17 Oktober 2024 4:12 PM MYT

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) sedang menyiasat satu lagi kes kematian membabitkan pengamal perubatan di sebuah hospital di Pulau Pinang yang didakwa akibat dibuli ketika dalam perkhidmatan.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dalam isu tersebut dan siasatan dalaman dibuat sebaik sahaja aduan mengenainya diterima.

“Jika benar wujud bukti, sangat mustahak untuk tindakan seterusnya.

“Kita akan siasat dan disusuli dengan jawatankuasa bebas bagi meneliti kes terbabit secara menyeluruh sebelum tindakan lanjut diambil,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi (PN-Kuala Langat) mengenai kes buli yang berlaku di hospital kerajaan.

Dalam pada itu beliau menafikan dakwaan mengatakan pihaknya dan KKM bertindak lewat dalam menangani isu buli di hospital awam.

Katanya, KKM menubuhkan siasatan dalaman sejurus selepas kes buli berlaku di sesebuah hospital.

“Jangan mudah-mudah mengambil begitu (dakwaan lewat bertindak), ada satu kes kematian doktor di Hospital Seberang Jaya yang juga didakwa sebagai kes buli, saya memerhatikan apa pun dapatan, data dan informasinya.

“Saya tidak mudah-mudah mengambil sikap untuk jump to a conclusion, lalu membuat tuduhan.

“Saya pasti kita juga akan mengambil siasatan awal bagi kes baharu ini dan akan menyusuli mungkin dengan jawatankuasa bebas,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Lee Chuan How (PH-Ipoh Timur), beliau berkata, hasil siasatan jawatankuasa bebas yang ditubuhkan bagi menyiasat kematian pakar perubatan patalogi di Hospital Lahad Datu akan didedahkan kepada umum kelak.

Beliau juga memberi jaminan akan mengambil tindakan sewajarnya kepada pihak terbabit, jika terbukti ada unsur buli dalam kes berkenaan, biarpun dapatan jawatankuasa bebas mungkin mendapati tiada unsur jenayah dikaitkan dengan kematian pakar itu.

“Pada 2018, saya pernah memecat ketua jabatan di hospital kendalian KKM di Lembah Klang selepas didapati membuli doktor lain, biarpun dia ketika itu sudah berpangkat Jusa. Tindakan ini hasil sisastan jawatankuasa bebas berkaitan buli, sebelum ini.

“Justeru, saya lebih gemar mengambil sikap untuk mendedahkan dapatan ini atas prinsip akauntibiliti dan ketelusan dan mustahak untuk ia dilakukan sedemikian supaya semua pihak dapat mengambil iktibar, terutama dalam kalangan Ahli Parlimen,” tegasnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas