KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) melalui Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM) telah melaksanakan pemantauan khas terhadap limau Mandarin yang diimport sempena musim perayaan di semua 70 pintu masuk negara sejak November lalu.
KKM memberitahu, ia bagi memastikan semua limau Mandarin yang memasuki negara ini mematuhi standard ditetapkan di bawah Peraturan-Peraturan Makanan (PPM) 1985, Akta Makanan 1983.
Jelasnya, KKM turut menjalankan operasi khas di seluruh negara yang dinamakan Op Tahun Baharu Cina bermula 19 Januari hingga 1 Februari untuk memastikan makanan yang dijual di pasaran adalah selamat dan mematuhi kehendak Akta Makanan 1983.
“Berdasarkan data Food Safety Information System of Malaysia (FoSIM), China, Afrika Selatan, Jepun, Australia dan Mesir merupakan pengeksport utama limau Mandarin ke Malaysia sepanjang tahun lalu.
“Hasil pemantauan tersebut, sebanyak 243 sampel limau Mandarin telah dianalisis dan didapati sembilan sampel (3.7%) tidak mematuhi kadar maksimum residu racun perosak di bawah PPM 1985.
“Semua sampel yang melanggar peraturan itu telah dilupuskan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
KKM menambah, setiap pengimport yang terlibat dalam pelanggaran tersebut akan dikenakan pemeriksaan tahap 5 (Tahan, Uji dan Lepas) pada kemasukan seterusnya.
Untuk itu katanya, konsainan makanan akan ditahan bagi tujuan pensampelan dan kelulusan pelepasan hanya akan diberikan sekiranya keputusan analisis mematuhi standard yang ditetapkan.
“PKKM mengingatkan semua pengimport makanan bertanggungjawab untuk memastikan makanan yang diimport mematuhi PPM 1985.
“KKM sentiasa menjalankan pemantauan di pintu masuk negara dan pasaran tempatan bagi memastikan keselamatan makanan terjamin, demi melindungi pengguna dan memastikan produk yang berada di pasaran adalah selamat untuk dimakan,” katanya.
Jelas KKM, pengguna yang mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan atau melihat sendiri insiden keselamatan makanan yang berlaku boleh menghubungi mana-mana Pejabat Kesihatan Daerah, Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau melayari laman sesawang Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) serta Facebook Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM). – WILAYAHKU