Berita

KKM, KPM jalin kerjasama tingkatkan ketajaman penglihatan murid

- Diterbit 17 Januari 2025 4:31 PM MYT

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melaksanakan projek rintis

pembetulan ketajaman penglihatan kepada murid sekolah rendah tahun 1 kategori B40 dan M40 secara percuma.

Program pemeriksaan secara menyeluruh itu membabitkan 16 sekolah di sekitar Putrajaya dengan penyertaan daripada 258 pelajar.

Daripada jumlah itu, 100 pelajar tahun 1 daripada keluarga B40 dan M40 yang dikenalpasti memerlukan cermin mata dan layak menerima bantuan telah menerima penajaan kaca mata secara percuma.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata kerjasama di antara KKM, KPM dan syarikat Optimax Eye Specialist Center Sdn Bhd itu bertujuan untuk mempertingkatkan kesihatan penglihatan dalam kalangan murid sekolah.

“Program kerjasama awam swasta ini diharap dapat diperluaskan ke seluruh negara bagi memastikan lebih
ramai murid mendapat manfaat daripada penjagaan kesihatan dan bantuan pendidikan yang inklusif.

“KKM sentiasa komited dalam mempertingkatkan kualiti kesihatan dan memperkasakan rakyat Malaysia dari semua lapisan masyarakat bagi membolehkan masyarakat mencapai potensi sepenuhnya dalam meningkatkan kualiti hidup,” katanya dalam satu kenyataan.

Majlis Penyerahan Kaca Mata bagi Program Pemeriksaan Refraksi dan Penajaan Pembetulan Ketajaman Penglihatan kepada Murid Sekolah Rendah Tahun 1 Kategori B40 dan M40 di Wilayah Persekutuan Putrajaya berlangsung di Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 9 (2), baru-baru ini.

Majlis disempurnakan Dzulkefly bersama Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan; Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr Norhayati Rusli; Pengerusi Optimax Eye Specialist, Datuk Seri Dr Chen Chaw Min;

Serta Pengasas dan Timbalan Pengerusi Optimax Eye Specialist, Tan Sri Dr Tan Boon Hock; Ketua Pegawai Eksekutif Optimax Eye Specialist, Sandy Tan dan Pengarah Bahagian Pembangunan Kesihatan Keluarga, Dr Mohd Safiee Ismail.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas