Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Berita

KKM komited capai sasaran nisbah 1 doktor 400 penduduk

- Diterbit 1 Julai 2024 1:21 PM MYT

KERAJAAN melalui Kementerian Kesihatan (KKM) komited untuk mencapai sasaran nisbah satu doktor kepada 400 penduduk pada tahun 2025.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata berdasarkan Petunjuk Kesihatan Tahun 2023 yang dikeluarkan oleh KKM, nisbah doktor kepada penduduk pada tahun 2022 telah mencapai nisbah satu doktor kepada 412 penduduk berbanding nisbah satu doktor kepada 758 penduduk pada tahun 2012.

Menurut beliau, KKM komited untuk terus melaksanakan pelbagai inisiatif bagi meningkatkan lagi bilangan doktor di fasiliti-fasiliti KKM termasuk di hospital-hospital.

“Antaranya ialah meningkatkan slot latihan siswazah di KKM daripada 10,835 pada tahun 2013 kepada 12,198 slot pada tahun 2024 bagi tujuan latihan siswazah perubatan.

“Kemudian, menawarkan skim perubatan mempunyai gred dan gaji yang lebih menarik selain elaun lain yang terdapat hanya dalam skim perubatan seperti bayaran insentif pakar, elaun lokum dan elaun tugas atas panggilan.

“KKM turut memberi peluang yang lebih menarik untuk melanjutkan pelajaran sehingga ke peringkat kepakaran dan subkepakaran dengan tajaan di bawah Hadiah Latihan Persekutuan.

“Malahan, KKM juga sedang dalam peringkat akhir bagi memperhalusi beberapa cadangan polisi-polisi baharu yang terkait secara langsung dengan pelantikan dan penempatan anggota kesihatan KKM melalui program Reformasi Sumber Manusia yang akan diumumkan dalam masa terdekat,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali (BN–Pekan) yang meminta KKM menyatakan apakah faktor tiada pengambilan doktor pelatih di hospital daerah seluruh negara serta apakah nisbah semasa doktor dan pesakit pada masa ini.

Menurut Dzulkefly, jumlah lantikan Pegawai Perubatan Siswazah (PPS) telah menunjukkan trend penurunan sebanyak 50 peratus sejak pandemik COVID-19 melanda negara kita dan kekerapan lantikan yang dibuat pada masa ini adalah sama seperti mana pelantikan yang pernah dibuat sebelum tahun 2019.

“Susulan itu, KKM telah melaksanakan penempatan PPS bagi kohort 1 dan kohort 2 bagi tahun 2024 dibuat ke hospital-hospital negeri dan sebahagian lagi ke 3 buah hospital pengajar universiti.

“Walau bagaimanapun, mengambil kira pandangan yang telah dikemukakan kepada KKM, polisi ini telah diteliti semula di mana slot latihan telah dibuka untuk menempatkan semula PPS ke hospitalhospital berpakar major atau minor secara berperingkat tertakluk kepada bilangan pengambilan PPS baru di KKM.

“Sehingga Jun 2024, KKM telah melaksanakan tiga kali siri lantikan baharu PPS yang melibatkan seramai 701 orang pada siri lantikan pertama, 803 orang pada siri lantikan kedua dan 644 orang pada siri ketiga, menjadikan keseluruhan jumlah besar 2,148 orang telah dilantik setengah tahun 2024. – WILAYAHKU.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas