KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) sedang giat mempercepatkan penempatan doktor pelatih bagi membantu kekurangan kakitangan perubatan ketika ini.
Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad memaklumkan perkara tersebut.
Menurut Dzulkefly, beliau telah mengarahkan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan agar segera menempatkan doktor pelatih ke hospital-hospital di daerah memerlukan.
“Salam semua, saya amat sedar dan insaf dengan keluhan para petugas saban hari dan minggu.
“Namun ditegaskan saya telah mengarahkan Datuk Ketua Pengarah Kesihatan (Dr Muhammad Radzi), supaya segera menempatkan kembali ‘Housemanship Officer’ (HO) ke hospital-hospital di daerah memerlukan,” katanya di plarform X hari ini.
Tambah Dzulkefly, segala perancangan dan langkah terbaik sedang dilaksanakan bagi mengatasi masalah kekurangan kakitangan perubatan.
“Langkah-langkah tambahbaik jangka sederhana dan panjang juga sedang dilaksanakan,” ujarnya.
Terdahulu, tular di media sosial, hantaran gambar keluhan kakitangan perubatan dipercayai di sebuah hospital yang memohon maaf kepada pesakit kerana perlu menunggu lama untuk bertemu doktor. – WILAYAHKU