Berita

KKM belanja RM23.24 bilion beli ubat-ubatan

- Diterbit 19 November 2024 7:53 PM MYT

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) telah membelanjakan sebanyak RM23.24 bilion untuk membeli ubat sejak 2015 sehingga tahun lalu.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, dalam tempoh tersebut, pembelian ubat-ubatan tahun lalu telah meningkat 30 peratus iaitu RM3 bilion berbanding RM2.3 bilion pada 2015.

“Peningkatan peruntukan kewangan ini adalah selari dengan kenaikan harga ubat-ubatan, pertambahan bilangan pesakit dan penggunaan ubat-ubatan baharu mengikut kepakaran yang lazimnya masih dalam tempoh paten dan harga ubat lebih mahal.

“KKM mengunjurkan jumlah perbelanjaan yang diperlukan untuk menampung keperluan ubat-ubatan di fasiliti-fasiliti KKM akan meningkat dari tahun ke tahun,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Azli Yusof (PH-Shah Alam) mengenai jumlah keseluruhan perbelanjaan tahunan pembelian ubat-ubatan bagi hospital dan klinik kerajaan bermula 2015.

Katanya, bagi memastikan keterjaminan ubat-ubatan untuk negara, beberapa strategi telah dibangunkan berpandukan kepada Dasar Ubat Nasional (DUNas) di bawah Komponen Akses Kepada Ubat-Ubatan.

Strategi itu katanya, dengan memastikan ketersediaan ubat-ubatan National Essential Medicine List (NEML) menerusi galakan lebih banyak pengilangan tempatan serta memberi keutamaan kepada penilaian dan pendaftaran produk.

Malah katanya, KKM menambah baik ketelusan rantaian bekalan melalui pembangunan sistem penjejakan dan pengesanan produk farmaseutikal.

Selain itu jelas beliau, KKM sedang bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan dalam ekosistem farmaseutikal di negara ini bermula daripada penemuan, kajian pra-klinikal dan klinikal, pengilangan, pengedaran dan sebagainya.

“Kerjasama ini merentasi pelbagai kementerian dan agensi awam serta melibatkan sektor swasta khususnya pemain industri.

“Melalui sesi libat urus ini, KKM berusaha untuk mengenal pasti kekuatan dan kelebihan industri farmaseutikal tempatan bagi disyorkan semasa pembangunan pelan tindakan dan pelaksanaan kolaborasi strategik ASEAN Drug Security & Self-Reliance (ADSSR),” katanya.

Beliau memberitahu, Malaysia melalui KKM diberi mandat sebagai negara peneraju inisiatif antara negara ASEAN dengan objektif utamanya adalah untuk memastikan keterjaminan ubat-ubatan di peringkat serantau, seterusnya meningkatkan lagi kemandirian penghasilan ubat-ubatan di rantau ini.

Katanya, KKM juga sedang merangka polisi off-take susulan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapan Belanjawan 2025 yang bertujuan menggalakkan pengukuhan kapasiti pengeluaran tempatan ubat-ubatan.

“Dengan adanya perancangan-perancangan ini, KKM berharap bekalan ubat-ubatan untuk negara adalah mencukupi, terjamin, berkualiti, selamat dan berkesan untuk rakyat Malaysia pada masa hadapan,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas