IBU Pejabat Kementerian Kesihatan Malaysia (IPKKM) akan mengadakan Cabaran Langkah Sihat sepanjang Februari ini.
Majlis pelancaran Cabaran Langkah Sihat IPKKM itu disempurnakan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, di Putrajaya.
Cabaran itu diadakan bagi kaki tangan IPKKM, bersempena Hari Naik Tangga Sedunia (National Take the Stairs Day) 2025 yang disambut setiap Rabu minggu kedua bulan Januari.
Semalam, Dzulkefly bersama pengurusan tertinggi serta warga KKM telah memulakan Cabaran Langkah Sihat@IPKKM
ini dengan melakukan aktiviti berjalan kaki dari lPKKM ke Tangga Putrajaya Steps.
Tangga Putrajaya Steps mempunyai hampir 200 anak tangga dan aktiviti menaiki tangga dikatakan dapat merangsang sistem limfatik untuk berfungsi dengan lancar dan secara tidak langsung dapat meningkatkan imuniti badan.
KKM menerusi hantaran di Facebook berkata, cabaran itu adalah sebagai persediaan awal warganya dari sudut fizikal dan mental bagi menghadapi dua pertandingan utama tahun ini.
“Dua pertandingan utama itu ialah Cabaran Langkah Putrajaya Sihat antara kementerian yang akan diadakan pada bulan April dan Cabaran Langkah Malaysia Sihat membabitkan semua penjawat awam seluruh negara pada Ogos depan,” ujar KKM.
Acara dimulakan dengan sesi pemanasan badan yang dipimpin Juara Dunia Menaiki Menara (Towerrun World Champion), Soh Wai Ching.
Turut hadir Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni; Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan dan Timbalan Ketua Setiausaha (Kewangan) KKM, Datuk Seri Norazman Ayob. – WILAYAHKU