Berita

KKM ambil empat langkah pastikan kos rawatan hospital swasta tidak meningkat

- Diterbit 6 Februari 2025 10:41 AM MYT

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) telah mengambil empat langkah bagi memastikan kos rawatan di hospital swasta tidak meningkat sewenang-wenangnya.

Menerusi jawapan lisan di parlimen, KKM memaklumkan pihaknya akan memastikan hospital mengadakan prosedur ketidakpuasan hati (grievance procedure) ke atas semua aduan.

“KKM akan memastikan ketidakpuasan hati atau aduan daripada pelbagai pihak mengenai fi disemak dan disiasat.

“KKM juga akan memastikan hospital swasta serta pengamal perubatan dan pergigian swasta mematuhi fi profesional seperti yang termaktub di dalam Jadual Ketiga Belas dan membolehkan pesakit mendapat maklumat mengenai anggaran caj yang akan dikenakan sebelum rawatan dimulakan melalui financial counselling oleh hospital swasta,” katanya ketika menjawab soalan Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau) mengenai bagaimana Kementerian akan mengambil langkah untuk tangani isu ini dan adakah Kementerian sedia untuk mengawal selia caj perubatan hospital swasta.

KKM turut memaklumkan bahawa kos rawatan di hospital swasta adalah terdiri daripada fi hospital dan fi profesional.

“Fi profesional yang terdiri daripada fi perundingan dan fi tatacara dikawal selia oleh KKM berdasarkan Jadual Ketiga Belas, Perintah Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta (Hospital Swasta dan Kemudahan Jagaan Kesihatan Swasta Lain) (Pindaan 2013) yang berkuatkuasa sejak tahun 2006.

“Jadual ini memperuntukkan harga siling atau had maksimum bagi fi profesional pengamal perubatan dan pergigian swasta,” katanya.

Menurutnya, fi hospital yang antara lainnya terdiri daripada caj perkhidmatan kejururawatan, caj peralatan perubatan, caj alat pakai buang (jarum, picagari, gauze dan lain lain), caj ujian makmal tidak dikawal selia oleh KKM.

“Beberapa kekangan dalam mengawal selia fi hospital telah dikenal pasti yang mana antaranya adalah kos operasi hospital seperti kos sewaan dan penyelenggaraan fasiliti yang berbeza mengikut saiz, jenis perkhidmatan yang ditawarkan dan lokasi hospital.

“Selain itu, kos peralatan perubatan, kos alat pakai buang seperti jarum, picagari dan gauze, serta kos ujian makmal juga sukar untuk ditetapkan kerana ia bergantung kepada harga pasaran,” katanya.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas