KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) akan memperluaskan Program Community Feeding Bandar melalui pemberianmakanan tambahan bagi menangani masalah malpemakanan di samping jaminan kebolehdapatan makanan berkhasiat kepada kanak-kanak miskin bandar berusia satu hingga enam tahun khususnya di Projek Perumahan Rakyat (PPR).
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefli Ahmad berkata, langkah itu diambil selepas hasil kajian Living on The Edge oleh Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) yang diterbitkan pada Mei 2024 di kawasan PPR menyatakan faktor sosioekonomi menyumbang kepada masalah kebantutan kanak-kanak.
“Mengambilkira perkaitan antara faktor sosioekonomi dan malpemakanan serta strategi yang dirancang oleh Kementerian Kesihatan bagi mengatasi masalah malpemakanan kanak-kanak, kerajaan turut akan melaksanakan pengukuhan Inisiatif 1,000 Hari Pertama Kehidupan Kanak-kanak dari awal kehamilan sehingga anak berusia dua tahun merangkumi penjagaan pra-kehamilan, memperluas pemantauan pertumbuhan kanak-kanak serta hebahan bagi meningkatkan pemahaman ibubapa di pelbagai platform;
“KKM akan memberikan program bantuan makanan tambahan bagi wanita hamil B40 mendapat akses makanan berkhasiat bermula di saat hamil sehingga anak dilahirkan berusia dua tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Dr Taufiq Johari (PH-Sungai Petani) yang bertanyakan mengenai perancangan KKM dalam mengatasi masalah kebantutan di kalangan kanak-kanak yang
menetap di rumah PPR seperti yang dilaporkan dalam kajian tersebut.
Menurut beliau, hasil kajian tersebut melaporkan faktor sosioekonomi yang menyumbang kepada masalah kebantutan kanak-kanak disebabkan kadar kemiskinan masih di tahap yang tinggi walaupun keadaan pekerjaan dan pendapatan yang bertambah baik
“Perlindungan sosial dan program bantuan ada disediakan namun perlu dipertingkat atau diperluaskan,” katanya.
Tambahnya, kenaikan harga makanan menjejaskan keperluan isi rumah dan menyebabkan kekurangan pengambilan makanan harian serta pengambilan makanan yang tidak sihat dalam kalangan ahli keluarga.
“Contohnya terdapat satu daripada dua kanak-kanak yang makan kurang daripada tiga kali sehari serta keluarga berpendapatan rendah sukar mendapat pendidikan,apatah lagi pendidikan yang berkualiti.
“Faktor lain adalah tekanan mental ibubapa bertambah teruk berbanding semasa pandemik dan isi rumah PPR lebih berkehendakkan gaji dan upah yang lebihtinggi berbanding bentuk bantuan yang lain,” katanya.
Dzulkefly berkata pihaknya sangat menyokong usaha oleh agensi-agensi berkenaan dalam melatih dan meningkatkan kemahiran golongan miskin bandar untuk menjana pendapatan tambahan dan mengurangkan kos sara hidup.
“Ini termasuklah pertanian bandar di mana warga PPR juga dapat menikmati hasil tanaman yang sihat dan segar.
“Adalah diharapkan semua pihak yang berkaitan dapat memberikan komitmen serta kerjasama yang bersepadu dalam memerangi masalah malpemakanan dalam kalangan kanak-kanak,” katanya.-WILAYAHKU