LEBIH RM10 juta diperuntukkan oleh Kementerian Kemajuan Desa Dan Wilayah (KKDW) bagi membantu meningkatkan taraf hidup golongan berpendapatan rendah (B40) di Labuan.
Pengerusi Penasihat GIATMARA Labuan, Datuk Mohd Rafi Ali Hassan berkata, peruntukan yang disalurkan itu merangkumi pembangunan infrastruktur serta pengkukuhan sosioekonomi kepada golongan berpendapatan rendah.
Katanya, selain itu pihak MARA turut menawarkan peluang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kepada golongan muda khususnya kepada anak kelahiran pulau itu.
“Antara peruntukan yang telah diluluskan adalah program kemahiran TVET kepada anak-anak Labuan yang telah disalurkan kepada GIATMARA Sabah. Kita menjangkakan ia akan dilaksanakan pada tahun ini juga serta bakal melibatkan 76 anak Labuan yang akan mengikuti program dalam industri minyak dan gas,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Bantuan Program Peningkatan Pendapatan KKDW di Kampung Patau-Patau Satu, hari ini.
Hadir sama, Pengarah KKDW Selangor dan Wilayah Persekutuan, Aisyah Norodin dan Pengarah GIATMARA Sabah Ts Azizzudin Aziz.
Pada majlis tersebut, seramai 51 nelayan tempatan menerima bantuan 41 set bubu dan 10 buah enjin sangkut di bawah Program Peningkatan Pendapatan KKDW Fasa Kedua.
Rafi berkata, pihaknya sentiasa cakna untuk membantu golongan nelayan di pulau ini untuk meningkatkan hasil pendapatan dan taraf hidup menerusi program tersebut.
“Ini adalah keprihatinan Kerajaan MADANI khususnya di bawah KDDW yang mana Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang sentiasa mementingkan nasib hidup rakyat di Labuan.
“Kita berharap golongan nelayan yang menerima bantuan dapat memanfaatkan dengan sebaiknya,” ujar beliau. – WILAYAHKU