KEMENTERIAN Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menjalin tiga usahasama strategik bersama Boustead Petroleum Marketing Sdn Bhd (BHPetrol) untuk membangunkan stesen minyak bagi pengedaran bahan api bersubsidi, pemasangan Panel Solar PV (Fotovoltaik) dan Penempatan Produk Industri Kecil Sederhana (IKS) di BHPetromart.
Memorandum Persefahaman (MoU) ini dimeterai antara BHPetrol dan lapan agensi KKDW.
Antaranya termasuk Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA), Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA), Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR), Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH), Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA), Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah (FELCRA) dan anak syarikat Majlis Amanah Rakyat (MARA), MARA Incorporated Sdn Bhd (MARA Inc.).
Timbalan Perdana Menteri dan Menteri KKDW, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyaksikan majlis menandatangani MoU ini antara KKDW yang diwakili Pengurus Besar lapan agensi terlibat dan BHPetrol diwakili Ketua Pegawai Eksekutif, Ir Azizul Azily Ahmad.
Menurut, Zahid sebagai kementerian yang menerajui pembangunan desa, KKDW sentiasa berusaha mengurangkan jurang antara desa dan bandar untuk memastikan pertumbuhan ekonomi yang lebih seimbang dan inklusif.
“Kawasan luar bandar di Malaysia sering dicirikan oleh tahap infrastruktur yang rendah, akses yang terhad, serta jurang pembangunan yang ketara berbanding kawasan bandar.
“Mempercepatkan pertumbuhan ekonomi desa amat penting kerana ia mempengaruhi pembangunan negara dan kesejahteraan sosial secara keseluruhan,” katanya.
Bagaimanapun tambah beliau, usaha pembangunan ini tidak boleh diletakkan di bahu kerajaan semata-mata tanpa kerjasama dengan pelbagai pihak seperti syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan sektor swasta.
“Oleh itu, saya ingin mengucapkan syabas kepada BHPetrol atas kepedulian mereka terhadap masyarakat luar bandar melalui usahasama strategik dengan agensi-agensi di bawah KKDW dalam usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat secara menyeluruh,” katanya.
Katanya lagi, usaha sama ini akan membantu kementerian dalam mencapai matlamat pembangunan ekonomi dan keusahawanan desa.
“Inisiatif-inisiatif ini bukan sahaja memacu teknologi di kawasan setempat, tetapi turut memberi peluang kepada usahawan desa untuk memasarkan produk mereka, sekali gus meningkatkan pendapatan,” katanya.
BHPetrol melabur RM45 juta untuk pembinaan sepuluh stesen minyak di lapan lokasi yang telah dimuktamadkan dan dua lokasi lagi masih dalam penelitian.
Antaranya di Kampung Awah, Temerloh, Pahang; Sri Gading Batu Pahat, Johor; Pejabat KEDA Zon 4, Sik, Kedah, Bendang Man, Sik, Kedah; Sungai Tengas, Serdang, Kedah; Ara Kuda, Pulau Pinang; Taman Kesedar Putra 2, Kelantan; Tumbi Rapat, Jeli, Kelantan; Bandar Penawar, Johor dan Kubang Menerong, Pulau Pinang.
MARA Inc. pula memperuntukkan RM1.5 juta bagi pemasangan Panel Solar PV (Fotovoltaik) di 50 stesen minyak BHPetrol sedia ada.
Inisiatif ini sebagai langkah permulaan bagi transformasi ke arah Tenaga Boleh Baharu (TBB) selaras dengan aspirasi Malaysia Madani yang bermatlamat untuk pengurangan 45 peratus dalam pelepasan karbon menjelang tahun 2030.
Langkah itu juga untuk menjadi negara neutral karbon menjelang 2050 serta langkah ke aras teknologi hijau dan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).
Dalam majlis yang sama, turut diadakan sesi penyerahan surat niat (letter of intent) daripada pihak BHPetrol kepada pihak MARA bagi penempatan Produk Industri Kecil Sederhana (IKS) usahawan bimbingan MARA di 300 kedai serbaneka BHPetromart seluruh Malaysia.
Ia sekali gus menjadi platform pemasaran yang efisien untuk membantu usahawan Bumiputera meluaskan pasaran produk mereka dalam usaha menyediakan ekosistem keusahawanan yang menyeluruh.
Majlis ini turut dihadiri Timbalan Menteri KKDW, Datuk Hajah Rubiah Wang; Ketua Setiausaha KKDW, Datuk Muhd Khair Razman Mohamed Annuar; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali serta Pengerusi Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Jeneral (B) Tan Sri Datuk Seri Azizan Ariffin. – WILAYAHKU