MALAYSIA selaku Pengerusi ASEAN pada tahun depan akan mencari jalan terbaik untuk memuktamadkan isu-isu berbangkit melibatkan Laut China Selatan khususnya dengan China.
Perkara itu ditegaskan Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Mohamad Alamin dengan ia akan dijadikan isu tumpuan untuk Malaysia berbincang dan berdialog serta mencari penyelesaian terutama melibatkan Code of Conduct in the South China Sea (COC).
Beliau berkata, semua pertikaian dan penyelesaian isu-isu berhubung Laut China Selatan mestilah berdasarkan undang-undang antarabangsa dan Konvensyen Undang–Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 1982 atau United Nations Convention on the Law of the Sea 1982 (UNCLOS 1982).
“Negara-negara ASEAN dan China telah memeterai Declaration on the Conduct of Parties in the South China Sea (DOC) pada 4 November 2002.
“Ini merupakan antara usaha serantau untuk memastikan keamanan dan kestabilan serta bagi mengelakkan ketegangan di Laut China Selatan.
“Selaras dengan persefahaman di bawah DOC ini, negara-negara ASEAN telah mengambil pendekatan ‘self-restraint’ dan memastikan tindakan-tindakan yang diambil dan aktiviti-aktiviti yang dijalankan di Laut China Selatan tidak akan meningkatkan ketegangan di lapangan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Suhaizan Kayat (PH-Pulai) mengenai cadangan penyelesaian ketegangan di Laut China Selatan di antara China dengan Malaysia, Vietnam, Filipina, Brunei serta Taiwan dan apakah Malaysia boleh menjadi pemudah cara untuk menyelesaikan pertikaian itu.
Mohamad menambah, buat masa ini, negara-negara ASEAN dan China sedang merundingkan COC yang dilihat sebagai satu kod tatacara bagi mengelakkan konflik dan ketegangan di Laut China Selatan.
Katanya, ia adalah tanpa prejudis terhadap tuntutan wilayah dan maritim negara masing-masing.
“Rundingan COC tersebut dilaksanakan oleh negara-negara anggota ASEAN dan China menerusi platform ASEAN-China Joint Working Group on the Implementation of the DOC (JWGDOC) dan ASEAN-China Senior Officials Meeting on the Implementation of the DOC (SOM-DOC).
“Ia berdasarkan Single Draft Negotiating Text (SDNT) COC yang digunakan sebagai asas rundingan,” katanya.
Jelas beliau, Malaysia sedang memainkan peranan penting di peringkat antarabangsa sebagai Negara Penyelaras Hubungan Dialog ASEAN-China untuk tempoh tiga tahun dari Ogos 2024 hingga Julai 2027.
Katanya, sebagai Negara Penyelaras, antara peranan Malaysia adalah sebagai Pengerusi Bersama dengan China dalam merunding draf COC.
“Dalam hubungan ini, Malaysia beriltizam untuk memastikan supaya kod tatalaku ini akan menjadi satu dokumen yang efektif dan substantif bagi menangani isu-isu yang berkaitan Laut China Selatan.
“Malaysia akan sentiasa memastikan bahawa COC yang dirundingkan tidak sekali-kali mengetepikan kedaulatan, hak kedaulatan dan kepentingan negara.
“Sebagai Pengerusi ASEAN pada 2025, Malaysia komited untuk menyelesaikan isu-isu berkaitan Laut China Selatan secara konstruktif dengan menggunakan forum dan saluran diplomatik yang sesuai,” katanya.
Beliau memberitahu, Malaysia akan terus menyuarakan pendirian tegas berhubung isu Laut China Selatan di pelbagai platform bagi memastikan kedaulatan, hak kedaulatan dan kepentingan negara akan terus kekal terpelihara. – WILAYAHKU