PERNAH mengemudi Kementerian Pendidikan (KPM) dari 2018 sehingga 2020‚ DR MASZLEE MALIK kini semakin mengerti ‘sepak terajang’ dunia politik‚ terutama selepas tewas dalam perebutan kerusi Parlimen Simpang Renggam pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Namun di sebalik semuanya itu‚ ramai masih terkesan dengan ‘kehilangannya’ di KPM dengan idea-idea termasuk idea daripada pasukan kementerian yang menjangkaui pemikiran di luar kotak.
Paling mendapat perhatian ramai ibu bapa adalah ideanya menukar penggunaan kasut hitam kepada anak-anak sekolah di samping menginjak jadual peperiksaan utama kepada Oktober bagi mengelak pertembungan bencana banjir.
Dalam temu bual di PADU PODCAST baru-baru ini‚ beliau turut berkongsi beberapa idea yang tidak sempat dilaksanakan bersama seluruh pasukan di KPM sebelum ini selain bercerita mengenai bidang seni tempatan.
Apa Dr Maszlee buat ketika ini?
Sekarang banyak bantu PMX (Perdana Menteri‚ Datuk Seri Anwar Ibrahim) dalam isu-isu membabitkan umat Islam global melalui Institut Antarabangsa Pengajian Lanjutan Islam (IAIS). Saya juga banyak buat kerja politik melalui PKR‚ cuma saya tak reti (tak tahu) bikin kecoh. Saya masih Ketua Cabang PKR Simpang Renggam.
Perkembangan semasa Dr dan pengalaman menerajui KPM?
Kadang-kadang kita akan lebih dekat dan lebih rapat mengaitkan diri kita dengan seseorang yang berada di umum‚ apabila kita rasa boleh kaitkan kepada mereka. Mungkin kelemahan saya‚ saya bukan orang yang hebat.
Saya hanya pensyarah biasa‚ lingkungan saya ramai cikgu‚ pendidikan.
Pada 2018 untuk mengepalai KPM‚ itu semua (lingkungan hidup) geng saya.
Apa jua keprihatinan mereka terhadap anak-anak sekolah‚ ia keprihatinan saya juga. Macam anak-anak saya juga‚ saya pernah hidup di UK‚ balik ke sini‚ bagaimana anak-anak saya dapat di UK dulu (dalam sektor pendidikan)‚ saya mahu yang sama di sini. Macam mana mereka lalui‚ saya nak murid di negara ini lalui. Sama ada anak-anak biasa‚ kampung‚ miskin‚ orang kurang upaya (OKU)‚ saya nak mereka dapat kualiti macam itu (terbaik sistem pendidikan di UK).
Dulu isteri saya pernah mengajar di sana‚ jika (guru-guru) tak disibukkan dengan beban perkeranian‚ kerja-kerja filing‚ mereka boleh tumpukan untuk mendidik anak-anak. Inilah waktu untuk kita bawa aspirasi di sini dan kebetulan dikongsi semua.
Saya bahasakan diri saya pakcik dengan budak-budak (murid sekolah). Bila kita jumpa cikgu-cikgu‚ kita hargai mereka. Bila di universiti‚ ini macam anak-anak saya. Bila mereka hilang orang yang boleh bercakap isi hati mereka‚ libatkan mereka dalam polisi. Bila dah tak ada watak sebegini‚ siapa lagi nak dengar (suara mereka).
Baru-baru ini kecoh pasal pelaksanaan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kerana musim banjir. Mungkin ketika Dr dahulu turut melaluinya?
Banjir ini benda yang selalu berlaku. Kita sepatutnya kena tahu bahawa ada sesetengah kawasan‚ terutama Pantai Timur. Berulang-ulang setiap tahun‚ takkan kita tak boleh buat sesuatu? Di waktu itu (semasa di KPM) di bawah Lembaga Peperiksaan‚ ramai pegawai yang kreatif‚ ramai dah pencen. Jadi Haji Azman (Pengarah Lembaga Peperiksaan ketika itu)‚ dia kata Dr berani tak‚ SPM dibahagi kepada dua komponen‚ periksa yang boleh didahulukan dan periksa yang boleh ditarik ke depan. Ada beberapa komponen macam subjek tertentu seperti IGCSE (Sijil Am Antarabangsa Pendidikan Menengah) kita buat pada Oktober.
Saya teringat peperiksaan macam yang boleh diambil pada Disember‚ saya tanya ada akta atau dasar? Haji Azman kata tiada‚ ini takwim. Jadi pada 2019 kita tarik (jadual peperiksaan) ke depan (Oktober). Sepatutnya diadakan hujung Disember tetapi (dapat) dilakukan pada Oktober. Jadi sesetengah subjek sudah selesai dan boleh elakkan musim tengkujuh.
Ia boleh dilakukan tetapi mungkin selepas itu datangnya COVID-19 dan berubahnya kerajaan‚ pelaksanaannya hilang. Baru-baru ini ada yang cungkil semula (pelaksanaan ujian pada Oktober) di laman X‚ saya balas semula dan kata itu cerita lama‚ cuma kalau ada kebaikannya‚ boleh dilaksanakan.
Pada 2019 kita juga pernah rencanakan untuk menukar tarikh mula persekolahan‚ bukan pada Januari. Kita cadang nak ikut (sistem) seluruh dunia‚ (iaitu) September. Sebab universiti juga mula (pengajian) pada September‚ jadi boleh diselarikan.
Kita ada kajian dasar‚ ia perlu datang dalam bentuk perubahan secara holistik‚ perubahan kurikulum dan pendidikan. Menurut laporan Jawatankuasa Kajian Dasar yang telah dipersetujui Perdana Menteri (ketika itu)‚ sepatutnya dibawa ke Kabinet dan dilaksanakan pada 2021. Kita nak mula pada September‚ ada sistem modular‚ ada sistem peperiksaan untuk masuk ke universiti dalam semua aliran‚ penggunaan data raya dan kecerdasan buatan (AI) dalam potensi anak-anak murid.
Ini dikatakan new education modul (modul baharu pendidikan), sepatutnya (dilaksanakan) pada 2021. Jika Kerajaan MADANI ingin melaksanakannya‚ boleh kembali kepada kajian dasar itu.
Tak ada timbulkah satu kerjasama (KPM) dengan mantan (menteri)?
Supaya tidak timbul sebagai menyibuk‚ saya kena pandai bawa diri.Tetapi kalau ada orang tanya‚ saya boleh kongsikannya.
PRU15‚ bagaimana boleh tak menang?
Kita ada analisis sendiri‚ politik dan sosiopsikologi. Pengundi di kerusi Parlimen Simpang Renggam ini pelbagai‚ ada yang duduk di luar‚ ada yang bekerja di Singapura‚ sebahagian besarnya menetap di situ. Setiap tahun saya keluarkan kad laporan Ahli Parlimen Simpang Renggam‚ itu laporan saya kepada pengundi.
Dari segi peruntukan‚ sekian banyak diberi begini‚ begini. Itu telus dan ada laporannya. Tetapi ketika hari pilihan raya‚ apa yang berlaku lima tahun sebelumnya‚ walaupun kita buat apa yang mereka perlukan‚ termasuk tutup tapak pelupusan sampah. Itu tak cukup kerana menjelang pilihan raya‚ ada beberapa seni politik yang saya tak faham. Lima tahun susah sangat nak ingat‚ pada malam pilihan raya‚ itu seni yang saya tak khatam lagi.
Saya agak terkejut‚ saya pergi ke kampung-kampung‚ jadi bila nak pilihan raya‚ rumah yang saya pergi dahulu‚ sudah jadi bilik gerakan parti lawan.
Stigma menjelang pilihan raya dimainkan (isu) perkauman. Tak mengapalah‚ benda dah lepas.
Apa harapan Dr untuk negara?
Supaya dapat jadi lebih baik daripada sebelum ini‚ dan insya-Allah di bawah pimpinan PMX (Anwar) dan Kerajaan Perpaduan‚ kita boleh melakukannya bagi rakyat‚ kita kena banyak membaca dan berfikir. Tak boleh sekadar mendengar apa orang kata dan mengikut buta-buta dari apa yang kita lihat terutama di media sosial‚ kita kena berfikir dan banyak membaca.
Jadikan diri kita bermanfaat untuk kehidupan masyarakat sekeliling‚ bukan sekadar untuk kita dan keluarga. – WILAYAHKU
Tonton penuh di:
[Iklan]