GERAI yang bersih‚ selesa dengan persekitaran kondusif di samping layanan baik serta makanan enak merupakan tarikan utama pengunjung datang menjamu selera.
Di Wilayah Persekutuan‚ terutama di Kuala Lumpur‚ usaha dilakukan dari semasa ke semasa menambah baik premis niaga agar mampu menarik seramai mungkin pelanggan.
Kerana itu kawan-kawan Kedai Kopi menyambut baik dan mengucapkan tahniah kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang terus berusaha menyusun semula penjaja di ibu kota‚ termasuk pemegang lesen KL MADANI. Ini untuk memastikan mereka dapat berniaga secara sah di tapak lebih formal dan teratur.
Usaha yang dilaksanakan melalui Program Lestari Niaga ini menyaksikan banyak kawasan niaga ditambah baik dan dinaik taraf. Matlamatnya agar kawasan tersebut lebih berseri‚ segar dan menyerlah‚ menceriakan peniaga dan pengunjung.
Harapan kawan-kawan Kedai Kopi‚ setelah diberi pelbagai kemudahan bagi memajukan perniagaan‚ penjaja dan peniaga mesti berusaha bersungguh-sungguh memajukan diri.
[Iklan]