“ALHAMDULILLAH kemenangan ini akan menjadi pemangkin semangat untuk terus membawa suara belia serta membangunkan potensi mereka sebagai tonggak utama masa hadapan negara,” ujar Khushairi Aizad Jamalludin.
Beliau dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Perdana Belia Negara Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur kategori lelaki individu.
“Selepas 15 tahun penglibatan dalam pembangunan belia dan sukan bermula di kawasan AU5D Lembah Keramat membuktikan segala usaha membantu golongan belia dan masyarakat terutama dalam aspek pengurusan belia dan pembangunan sukan tidak sia-sia.
“Berbaki beberapa tahun lagi untuk berbakti kepada masyarakat di platform belia ini, saya ingin menguar-uarkan ini adalah tempat untuk membangunkan diri kita dari segi keterampilan, pendidikan dan pengalaman berinteraksi dengan orang ramai dan menguruskan acara,” katanya kepada Wilayahku.
Khushairi yang merupakan Ahli Majlis Sukan Wilayah Persekutuan berkata wang kemenangan sebanyak RM3,000 yang diperoleh akan digunakan bagi pelaksanaan Program Jelajah Anak Muda Setiawangsa yang telah dirancang.
“Ini adalah program pertama yang saya akan lakukan selepas pengiktirafan di mana saya akan menumpukan kepada golongan belia di kawasan perumahan setempat.

“Saya mahu mencari pelapis-pelapis muda untuk turut terlibat dalam pembangunan belia dan dalam masa yang sama saya akan menurunkan ilmu tentang bagaimana hendak menyertai kelab belia, menguruskan pentadbiran dan acara termasuk kertas kerja,” ujar beliau yang juga Presiden Kelab Bola Sepak Setiawangsa Rangers.
Dalam aspek pembangunan sukan pula, dia yang kini menggalas tanggungjawab selaku pengurus pasukan bola sepak Wanita Wilayah Persekutuan turut mahu melihat program pembangunan sukan dalam kalangan kumpulan sasar itu berhasil selari misi memperkasakan wanita dalam sukan.
Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa menyampaikan Anugerah Perdana Belia Negara Peringkat WPKL 2024 di Kompleks Rakan Muda Bukit Kiara.
Turut hadir Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Wilayah Persekutuan, Mohd Nizam Haji Ismail dan Presiden Majlis Belia Wilayah Persekutuan, Khairul Rizam Abu Samah.
Selain Khushairi, johan kategori individu wanita dirangkul Dr Losheni Gunasegaran sementara Pertubuhan Pemuda Gema Malaysia WPKL muncul johan kategori pertubuhan belia. – WILAYAHKU