Berita

Khianat bukan tradisi, budaya… Shamsul Iskandar tidak akan ‘tikam belakang’ PMX

- Diterbit 16 Oktober 2024 3:36 PM MYT

MESKIPUN menyimpan hasrat untuk memegang jawatan sebagai Perdana Menteri, Pengerusi Biro Antarabangsa PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin menegaskan dia tidak pernah terlintas di fikiran untuk ‘menikam belakang’ Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menerusi sesi podcast Apa Cerita? yang dikendali oleh Asyraf Khalid dan Ishraq Kamarudin, Shamsul berkata dia tidak diajar untuk mengkhianati antara satu sama lain.

Tambah Setiausaha Politik Kanan kepada PMX, dia mengambil pengajaran daripada kisah rakan-rakan lain yang ‘terciduk’ gara-gara tidak berfikir panjang.

“Saya nak jawab dengan satu pantun.

“Terbang kunang di tengah malam,
Hinggap masuk di tiang seri,
Tangan kanan ajak bersalam,
Apa maksud pisau di kiri?

‘Itu satu pantun lama yang saya hafal. Sebab pantun ini sangat memberi kesan.

“Sebab dalam kita berkawan, dalam kita berjuang ini.. Kalau betul-betul kita bersalam, kita bersalam betul-betul.

“Tak ada niat lain. Tak ada nak tikam. Saya lihat dalam sejarah perjuangan, banyak kawan-kawan yang mengkhianati. Akhirnya di mana?,” luahnya.

PENGERUSI Biro Antarabangsa PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin (tengah) bersama Ishraq Kamarudin dan Asyraf Khalid dalam sesi podcast Apa Cerita? 

Shamsul Iskandar juga menekankan dalam persahabatan, perbuatan khianat ditegah dalam agama dan bukan budaya orang Melayu.

“Sebab itu (khianat) bukan tradisi dan budaya kita! Dalam agama sendiri pun, Nabi mengajar kita! Bagaimana dalam banyak persahabatan.. Dalam banyak peristiwa, berlaku pengkhianatan.

“Dan hukum orang yang mengkhianat ini? Dihukum bunuh! Maknanya tak boleh diterima sama sekali!,” ujarnya.

SHAMSUL Iskandar dalam podcast Apa Cerita?

Dalam pada itu, Shamsul berpegang dengan kata-kata PMX iaitu jawatan bukan untuk dimegahkan.

“Jadi pada saya, jarak umur saya dengan PM itu jauh! Umur PM 77, umur saya baru 49 tahun. Banyak benda yang kita pelajari.

“Daripada kepimpinan, daripada perjuangan dia! Saya boleh anggap saya next generation selepas PMX.

“Jadi saya akan bincang dengan kawan-kawan. Apakah bila berada di tahap ini, kita nak ketepikan persahabatan, ketepikan agenda lebih besar.

“Sebab kita selalu diajar oleh Perdana Menteri, jawatan itu bukannya untuk dimegahkan.

“Dia bukan tasyrif tapi adalah taklif iaitu tanggungjawab! Jadi perkara seperti ini pada saya sangat fundamental,” katanya. – WILAYAHKU

Sumber: Tiktok Tun Asyraf Khalid

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas