KES seorang lelaki yang juga positif dadah, dipercayai membunuh ibu dan bapanya di sebuah rumah baru-baru ini cukup membuatkan hati penyanyi Khai Bahar tersentuh.
Bagi Khai atau nama sebenarnya Muhammad Khairul Baharuddin, 29, mengaku tiada kata-kata yang mampu diucapkan apabila mendapat tahu seorang anak sanggup membunuh ibu yang bertarung nyawa melahirkan dan membesarkannya.
“Saya turut bersimpati atas apa yang berlaku. Berita itu sungguh menyedihkan. Rasa cukup sedih, kecewa dan hilang kata-kata bagaimana seorang anak boleh tergamak membunuh ibu kandungnya sendiri.
“Tak tercapai akal saya apabila semua ini terjadi. Macam tak boleh nak fikir, apa yang membuatkan dia sanggup membunuh syurganya,” ujarnya sayu dengan apa yang berlaku.
Meskipun lelaki tersebut dikatakan bawah pengaruh dadah, bagi Khai itu bukan alasan untuk seseorang itu boleh membunuh, apatah lagi ibu sendiri.
“Apa pun alasan disebabkan dadah atau punca lain, ini tidak sepatutnya berlaku. Bagi saya, ini sangat melampau. Jadi, nasihat saya kepada masyarakat di luar sana, tolonglah saya merayu jauhilah dadah. Apa sahaja yang berkaitan dengannya mintalah dijauhi.
“Kadang-kadang, ada yang terasa nak cuba (dadah), dengan alasan sikit saja. Tak ada apa-apa. Disebabkan permulaan yang sedikit itulah yang akhirnya menjadi punca seseorang itu sanggup bunuh ibu atau lakukan jenayah lain. Banyak lagi perkara lain yang boleh dicuba. Kenapa dadah juga yang dipilih,” ujarnya.
Dalam masa yang sama, dia turut berpesan kepada anak muda agar bijak dalam memilih kawan kerana terdapat banyak ragam manusia di luar sana yang sukar untuk diramal.
“Di sekeliling kita ada macam-macam jenis kawan carilah yang boleh membawa kita ke arah kebaikan,” ujarnya jika tersilap memilih akan menghancurkan masa hadapan sendiri.
Menyentuh soal kerjaya, lagu Selagi Ku Ada nyanyian Khai Bahar bersama Nabila Razali layak ke Anugerah Juara Lagu ke-38 (AJL 38) yang diumumkan baru-baru ini.
Di pentas AJL 38 yang dijangka pada awal tahun depan, Khai turut berentap bersama penyanyi lain antaranya Ziana Zain, Hasif Upon, Aina Abdul, Ernie Zakri, Aisha Retno, Naqiu, Marsha dan Shiha Zikir. – WILAYAHKU