Artikel

Khabar yang ditunggu

- Diterbit 5 November 2024 10:24 AM MYT

BERITA gembira buat 700‚000 penduduk Wangsa Maju. Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) baharu akan dibina di kawasan parlimen tersebut untuk memberi khidmat lebih berkesan setelah satu dekad beroperasi di Jalan Pudu.

IPD Wangsa Maju beribu pejabat di Jalan Pudu sejak IPD tersebut diwujudkan pada 1 April 2014.

Beberapa balai polis seperti Setapak dan Wangsa Maju bernaung di bawah IPD ini termasuk beberapa buah balai polis komuniti seperti Setiawangsa‚ Taman Melati dan pangkalan motosikal ronda di Danau Kota.

Oleh itu‚ bagi kawan-kawan Kedai Kopi‚ sangat wajar IPD baharu dibina di metropolitan Wangsa Maju setelah satu dekad beroperasi dari Pudu. Tambahan lagi IPD tersebut turut memberi khidmat kepada kawasan parlimen berjiran iaitu Setiawangsa dan Titiwangsa.

Memetik Ahli Parlimen Wangsa Maju‚ Zahir Hassan‚ IPD Wangsa Maju akan dibangunkan menerusi pelan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) 2021 hingga 2025. Memandangkan Wangsa Maju kawasan penting yang pesat membangun‚ kerajaan memberi keutamaan membina IPD dalam tempoh RMK-12.

Faktor kepadatan penduduk juga diambil kira dalam pembinaan IPD baharu ini. Bagi setiap kilometer persegi‚ terdapat lebih kurang 13‚547 orang penduduk.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas