Berita

Khabar gembira buat atlet Sukan SEA 2019

SEBAHAGIAN atlet Wilayah Persekutuan yang berjaya merangkul pingat pada Sukan SEA tahun lalu.
- Diterbit 6 Mei 2020 7:07 AM MYT

PUTRAJAYA – Atlet Wilayah Persekutuan yang berjaya memenangi pingat dalam Sukan SEA Manila 2019 akan menerima insentif daripada Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP)

Perkara itu dinyatakan Menterinya, Tan Sri TPr. Annuar Musa menerusi ciapan di Twitter rasminya semalam.

Menurut Annuar, insentif tersebut bagi menghargai jasa para atlet Wilayah Persekutuan yang berjaya ketika mewakili negara pada temasya yang berlangsung pada 24 November hingga 11 Disember 2019.

“Saya diberitahu atlet Wilayah Persekutuan tidak diberi insentif. Jadi saya memutuskan agar atlet yang berjaya merangkul pingat emas diberi RM 2,000; RM 1,500 (pingat perak) sementara gangsa pula, RM 1,000,” kata Annuar.

96 atlet Wilayah Persekutuan dari pelbagai acara berjaya merangkul emas, perak dan gangsa pada temasya tersebut yang membabitkan peruntukan sebanyak RM93,700.

Sebagai rekod keseluruhan, Malaysia sekadar menamatkan kempen Sukan SEA 2019 dengan kutipan 55 emas, 58 perak dan 71 gangsa untuk berada di tangga kelima keseluruhan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas