BERITA baik buat penduduk sekitar Putrajaya, Kuala Lumpur dan Selangor, produk baharu yang dibangunkan Perbadanan Putrajaya (PPj) sudah mula dibuka kepada orang ramai bermula Khamis lalu.
Bertempat di Presint 3, Glamping@ Wetland (GL@W), Putrajaya merupakan pusat rekreasi dan perkhemahan yang menawarkan
pakej percutian santai bermalam di dalam khemah yang dikelilingi keindahan alam semulajadi.

Menurut Presidennya, Datuk Muhammad Azmi Mohd Zain, GL@W glamping merupakan keunikan pertama diwujudkan di tengah pusat pentadbiran yang dilengkapi pelbagai kemudahan dan aktiviti rekreasi menarik dengan harga yang berpatutan.
“Harga penginapan satu malam yang ditawarkan di sini ialah serendah RM120 seorang yang meliputi pakej makan sebanyak empat kali sehari iaitu sarapan pagi, makan tengahari, minum petang dan makan malam.
“Bukan itu sahaja, pengunjung yang meminati aktiviti lasak, mereka juga boleh melakukan aktiviti seperti ATV adventure ride, ATV
night ride dan night walk, berbasikal dan persembahan api (fire show).
“Tetapi kemudahan ini akan ditambah baik di peringkat fasa 2 yang akan mula proses perolehannya pada Januari 2022,” katanya yang menerima sambutan baik daripada orang ramai ketika mempromosikan GL@W di media sosial.
Katanya, fasa 2 akan merangkumi penambahan khemah glamping sebanyak 12 unit beserta pelbagai aktiviti lasak yang pasti menyeronokkan dan lebih ekstrem.
“Antara penambahan aktiviti tersebut ialah flying fox sepanjang 200 meter di sepanjang pesisir tasik, program perkhemahan buat pengunjung yang ingin melakukan kursus dan oasis iaitu taman mini waterpark untuk kanak-kanak bermain air.
“Selain itu, 50 tapak telah dikhaskan kepada pengunjung yang ingin berkhemah dan sebanyak RM15 akan dikenakan,” jelasnya lagi.
Dalam pada itu, beliau berkata, destinasi itu diwujudkan berikutan Putrajaya mempunyai 13 taman yang berkeluasan 2,600 hektar dan
ia memberi peluang kepada pengunjung untuk merasai pengalaman berkhemah di tengah bandar.
“In Shaa Allah, kita akan memperbanyakkan kawasan seperti ini di sekitar Putrajaya di mana taman-taman lain juga akan ditambah baik sebagai pusat rekreasi,” katanya ketika ditemui Wilayahku.
Beliau juga turut berkongsi pembukaan Pantai Floria buat tarikan kanak-kanak sepanjang 100 meter yang terletak di Presint 4 dan telah dibuka pada 4 Disember lalu. – WILAYAHKU